95 Pelajar GMI Capai Hasrat Ke Pusat Bahasa Jerman

Keberangkatan 95 orang pelajar di KLIA 1 ke Jerman

Kuala Lumpur, 21 April 2021 – Seramai 95 pelajar German-Malaysian Institute (GMI) berjaya menamatkan pengajian dalam Program Persediaan Universiti Jerman (GAPP) serta mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Pusat Bahasa Jerman.

Menurut  Salwani Abu Bakar, Ketua Jabatan GAPP, “Bagi pihak GMI, kami berasa berbangga apabila 95 orang pelajar tersebut berjaya mendapat tempat di Pusat Bahasa Jerman. Seperti yang kita tahu, mereka telah menempuh proses pembelajaran serta persediaan selama 22 bulan di GMI bermula tahun kemasukan 2019 hingga menamatkan pengajian pada Mac 2021.”

“Kita di GMI sentiasa memberi sokongan penuh dan menyediakan kemudahan lengkap bagi memastikan anak-anak ini dapat mencapai hasrat mereka ke luar negara agar menjadikan mereka lebih berdaya saing,” tambahnya lagi.

Jumlah keseluruhan iaitu 95 orang pelajar adalah terdiri daripada 73 orang di bawah tajaan Young Talent Programme (YTP), 18 orang pelajar di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta 4 orang pelajar di bawah pembiayaan sendiri.

Salwani juga menyatakan bahawa pelajar-pelajar ini akan meneruskan pengajian dalam program Persediaan Bahasa selama enam (6) bulan di lima (5) pusat bahasa seperti di Deggendorf, Weilheim, Düsseldorf, Kassel, dan Leipzig. Para pelajar telah berangkat ke Jerman pada 26 Mac, 5, 6, dan 9 April 2021.

GMI merancang dan melaksanakan proses keberangkataan para pelajar dengan teliti yang mematuhi Prosedur Operasi Standard (S.O.P) berdasarkan kepada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa persediaan untuk berangkat ke Jerman. Para pelajar juga telah menjalani dan melengkapkan ujian saringan COVID-19 dalam tempoh 48 jam sebelum mereka berangkat.

GMI juga telah dibantu oleh wakil dari JPA, Encik Nik Ahmad Syazwan bin Nik Azman dan wakil MARA, Encik Meor Azam bin Meor Azid dan juga Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Malaysian Airlines Berhad (MAHB), Encik Ahmad Zamzury bin Abu Bakar. Kehadiran mereka adalah untuk membantu memudahkan urusan para pelajar dan ibu bapa ketika proses mendaftar masuk ke balai berlepas.

Turut hadir mengiringi para pelajar ialah Prof. Ir. Dr. Azmi Hassan, Pengarah Urusan GMI dan juga Ts. Dr. Muhamad Farid Daud, Timbalan Pengarah Urusan GMI (Akademik dan Operasi) untuk mengucapkan selamat jalan.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.