115 PENERIMA MANFAAT PROGRAM MARA PRIHATIN RAMADAN PERINGKAT NEGERI SEMBILAN

MARA Negeri Sembilan menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena MARA PRIHATIN RAMADAN

SEREMBAN, 19 April – Pejabat MARA Negeri Sembilan dengan kerjasama anak syarikat MARA, Yayasan Pelajaran MARA dan Rural Capital Berhad telah bersama-sama melancarkan program MARA Prihatin Ramadan peringkat Negeri Sembilan pada hari ini. Pelancaran dengan tema ‘Semarak Kasih Ramadan’ telah diadakan melibatkan 115 penerima pada 16 April 2021 yang lalu.

Puan Bedah, Timbalan Pengarah MARA Negeri Sembilan berkata, “Program ini melibatkan seramai 35 keluarga asnaf yang telah dikenalpasti oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan 80 pelajar B40 di sekitar Negeri Sembilan yang bertujuan untuk kita raikan mereka di bulan Ramadan di samping meringankan beban dan kos perbelanjaan sepanjang tempoh PKPP.”

“Sempena pelancaran MARA Prihatin Ramadan di seluruh Malaysia, MARA Negeri Sembilan juga menyahut seruan tersebut dengan menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,250 kepada golongan asnaf,” katanya lagi.

Menariknya program kali ini, kolaborasi bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Negeri Sembilan melalui Pejabat Pendidikan Daerah bagi mengenalpasti 80 orang pelajar menerima sumbangan sebanyak RM100  daripada Yayasan Pelajaran MARA dan sumbangan daripada usahawan. Kolaborasi ini melibatkan 40 pelajar sekolah rendah dan 40 pelajar sekolah Menengah di Negeri Sembilan. Pada majlis berkenaan, MARA telah menjemput Guru Besar dan Pengetua yang terpilih untuk menerima sumbangan bagi pelajar terpilih.

MARA juga berkolaborasi dengan Jabatan Zakat Negeri Sembilan melalui Ketua Wilayah Zakat Daerah untuk mengenalpasti 5 keluarga asnaf setiap daerah bagi menerima sumbangan daripada Rural Capital Berhad. Simbolik penyerahan wang tunai RM200 dan keperluan asas di serahkan kepada 5 orang penerima di daerah Seremban telah diadakan pada majlis tersebut.

Majlis telah disempurnakan oleh Puan Bedah Mamat, Timbalan Pengarah MARA Negeri  (Pembangunan ) mewakili Pengarah MARA Negeri. Penyerahan mock cek daripada Tuan Haji Razali bin Hassan, Ketua Pegawai Operasi Rural Capital Bhd kepada Dato’ Hj Nor Azmi bin Hj Musa Ketua Jabatan Zakat Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berjumlah RM8,750.00 dan penyerahan mock cek daripada Encik Izzudin Saadon, Pegawai Yayasan Pelajaran MARA Negeri Sembilan kepada Encik Mazlan Abdullah , Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri , Negeri Sembilan berjumlah RM5,000.00. Pejabat MARA Negeri Sembilan juga menerima sumbangan daripada usahawan dalam bentuk wang tunai dan keperluan asas kepada penerima.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.