DanaNITA realisasi imipian cipta jenama Biebon

Dato’ Azizah bersama pengusaha Biebon, Pn. Bibi sewaktu lawatan rasmi ke outlet Biebon baru-baru ini.

Kuala Lumpur, 13 April – Berbekalkan impian untuk memiliki produk wangian jenama sendiri, Pn Bibi Siti Nurba, 35, akhirnya menggapai impian tersebut setelah 7 tahun berkecimpung dalam perniagaan menjual minyak wangi jenama antarabangsa.  

Baginya, pengalaman dalam menjual wangian serta latar belakang pendidikan dalam bidang Juruteknologi Makmal memberi kelebihan dalam menjalankan kajian dan penyelidikan (R&D) dalam menghasilkan wangian sendiri.

“Saya berjaya menghasilkan bau wangian asli Biebon hasil daripada R&D yang saya laksanakan di samping mengikuti kursus yang dianjurkan oleh pihak MARDI bagi menghasilkan wangian tersebut. Saya juga mengikuti Kursus Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) anjuran MARA bagi mempersiapkan diri untuk menceburi bidang perniagaan.

Perniagaan saya bermula di rumah dan setelah 6 bulan baru saya berjaya menyewa kedai untuk operasi perniagaan saya seterusnya. Untuk permulaan saya menggunakan konsep perniagaan stokis dan agen di mana pada masa itu saya berjaya mengumpulkan lebih kurang 60 stokis dan agen,” kata beliau.

“Saya turut mendaftarkan minyak wangi ini dengan jenama Biebon bagi mengukuhkan lagi jenama tersebut sekaligus mampu menarik keyakinan pembeli terhadap wangian ini,” jelasnya lagi.

Minyak wangi Biebon yang dijual dengan harga RM15 hingga RM79 turut terkena tempias apabila negara dilanda pandemik COVID-19. Pengusaha terpaksa menukar konsep perniagaan kepada e-dagang dan berjaya mencapai jualan sebanyak RM50 ribu pada bulan pertama produk dipasarkan secara atas talian.

“Alhamdulillah, saya dan suami berjaya mengatasi cabaran dan kini jualan minyak wangi saya semakin meningkat dan akan berpindah ke lokasi premis yang lebih baik pada bulan Jun ini,” katanya lagi.

“Saya juga berterima kasih kepada agensi yang menyokong perkembangan perniagaan saya terutamanya MARA. Saya bukan sahaja mendapat kemudahan pembiayaan, tetapi turut ditawarkan geran pembungkusan bagi menambahbaik kualiti produk saya melalui agensi tersebut,” tambahnya lagi.

Baru-baru ini, Biebon turut menerima kunjungan daripada Pengerusi MARA, YB Dato’ Hajah Azizah yang turun padang bagi melihat sendiri perkembangan perniagaaan usahawan dalam industri gaya hidup sejurus selepas merasmikan kilang usahawan milik peserta program Beauty in Business (BiSS) MARA.

Azizah turut menyatakan rasa bangga di atas kejayaan syarikat Bumiputera ini melonjakkan jualan pada waktu pandemik.

“Saya bangga dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh Biebon untuk bertukar kepada platform e- dagang dalam waktu yang sukar. Platform ini bukan sahaja telah melonjakkan jualan, tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” jelas Azizah.

This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.