“Program Keunggulan MARA memantapkan tadbir urus korporat” – Sesi Libat Urus

Sesi Libat Urus MARA bersama YB Menteri, Datuk Latiff

Kuala Lumpur, 1 April 2021: Yang Berhormat  Datuk Dr Abd Latif, Menteri Pembangunan Luar Bandar melontarkan pendapat bahawa Program Keunggulan MARA berupaya memantapkan tadbir urus korporat yang lebih baik semasa beliau menghadiri Sesi Libat Urus bersama MARA.

YB Menteri turut menyebutkan bahawa pegawai dan kakitangan MARA perlu melakukan inovasi di dalam menggerakkan agensi MARA serta berani membuat perubahan.

Sebagai sebuah organisasi yang besar, Datuk Latiff berpesan agar semua peringkat pengurusan mahupun kakitangan MARA harus mempraktikkan sifat rajin bertanya pandangan orang lain supaya setiap perkara yang ingin dilaksanakan adalah berkesan.

Selain itu, Datuk Latiff menekankan bahawa MARA harus mengambil perhatian penuh dalam memperkasakan profesionalisme dan integriti pekerja yang menjadi identiti penting buat organisasi ini.

Antara usaha yang boleh diambil ialah mengukuhkan pembangunan bakat menerusi penawaran program life long learning dan keeping talent bagi mengembangkan kemahiran mengurus agensi.

Tambah beliau lagi, pengamalan budaya kerja berprestasi tinggi amat perlu dilaksanakan melalui Cross Fertilization Programmes (CFP) iaitu menghantar golongan pekerja pengurusan dan profesional ke peringkat institusi atau jabatan berbeza. Hal ini sangat baik untuk memberi pendedahan dan mengubahkan corak pemikiran serta budaya kerja di samping meningkatkan prestasi ke arah lebih kompeten dan efisien.

Bukan itu sahaja, sewajarnya yang dititik beratkan juga adalah memantapkan kepimpinan dan kepakaran dengan Kerjasama institusi/universiti terkemuka luar negara. Datuk Latiff menegaskan bahawa usaha-usaha yang dilaksanakan ini sangat penting kepada warga kerja MARA supaya menggerakkan MARA lebih dinamik dan berupaya meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Sesi libat urus MARA bersama YB Menteri KPLB dihadiri oleh hampir 200 orang yang terdiri daripada Ahli Majlis MARA, Ahli Majlis Subsidiari, Ahli Pengurusan MARA dan Subsidiari. Datuk Latiff turut menyampaikan sijil tahniah kepada 10 warga kerja MARA yang baru sahaja menamatkan bidang pengajian PhD dan Jurutera Profesional dengan gelaran Dr. serta I.R. 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.