
Kuala Lumpur, 1 April 2021 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Macro Tech Ventures Sdn Bhd bagi mengukuh dan melestarikan perniagaan usahawan di Malaysia khususnya Bumiputera.
Pengerusi MARA, Dato’ Azizah Mohd Dun berkata, “kerjasama strategik itu bertujuan memajukan golongan usahawan dalam usaha melengkapkan ekosistem perniagaan yang kondusif bagi menjana sosioekonomi Bumiputera agar lebih mampan dan berdaya saing.”
Menurutnya, jalinan kerjasama ini merupakan satu inisiatif yang tepat bagi mendokong kemampanan perniagaan usahawan Bumiputera lebih-lebih lagi mereka sedang dalam proses bangkit setelah mengalami situasi yang agak sukar akibat penularan wabak COVID 19.
Kerjasama bersama Macro Tech Ventures Sdn Bhd yang mempunyai ekosistem digital lengkap dan merupakan sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman dalam membangun, membimbing dan membantu perniagaan syarikat lain di pelbagai peringkat dan sektor melalui platform Dropee merupakan satu peluang yang harus direbut oleh usahawan.
“Langkah ini adalah baik dalam membantu usahawan mencari alternatif pemasaran yang bersesuaian pada era ini.”
Kerjasama strategik ini akan memberi fokus kepada aplikasi teknologi dalam membantu usahawan dalam meningkatkan pengurusan operasi, pengkomersialan dan jualan usahawan dengan mengaplikasikan konsep pasaran Busines To Business (B2B).
Pengarah Urusan Macro Tech Ventures Sdn. Bhd, Aizat Rahim menyambut baik usaha MARA dalam memperkasakan usahawan Bumiputera khususnya.
Jelasnya, “Usahawan yang menggunakan platform ini akan dapat menganalisa tawaran harga yang lebih baik dari pengilang dan pengedar, menguruskan stok dengan lebih berstruktur serta diberikan khidmat nasihat dan bimbingan secara terus dari pakar pasaran.”
“Di samping itu, MARA juga turut boleh mengakses prestasi usahawan yang terlibat serta dapat mengumpulkan realtime data bagi merancang polisi dan program keusahawanan yang lebih efisyen dan mampan.” Tambahnya lagi.
Sebelum ini MARA turut menjalinkan kerjasama bersama platform e-dagang terkemuka Shopee bagi meluaskan aksess pasaran produk usahawan Bumiputera.
Pada Majlis yang sama MARA turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Pharmaniaga yang merupakan sebuah kumpulan syarikat farmaseutikal bersepadu terbesar di Malaysia.