Kerjasama Industri Pertingkat Kompetensi Tenaga Pengajar GIATMARA

Dato’ Azhar (kiri) dan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, En. Jabar Azman Jaafar (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta kursus

Oleh: Haryati Husin
media@mara.gov.my

Behrang, 26 Mac 2021 – Inisiatif Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam meningkatkan kemahiran tenaga pengajar Pusat GIATMARA yang lebih kompeten dengan mengadakan jalinan kerjasama bersama pemain industri merupakan satu usaha dalam menambahbaik kemahiran mengikut standard yang ditetapkan. Inisiatif ini dijangka mampu meningkatkan peluang pekerjaan yang lebih fokus kepada kemahiran tinggi.

Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Abdul Manaf berkata, saya yakin melalui jalinan kerjasama dengan pemain industri, tenaga pengajar GIATMARA akan dapat memberi latihan yang bagus dan mampu memenuhi kehendak dan keperluan industri.

“Saya mahu MARA menjadi penggerak dan pencetus kepada belia Bumiputera yang berupaya melatih, mendidik serta membentuk mereka menjadi tenaga kerja yang menjadi penyumbang besar kepada pembangunan negara,”katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Penutup Kursus Bike Maintenance.

Kursus yang dihadiri oleh 17 tenaga pengajar terpilih daripada Pusat GIATMARA seluruh Malaysia ini telah berlangsung selama 5 hari bermula dari 21 hingga 25 Mac adalah bagi membangunkan modul kursus/latihan baru Bike Maintenance beserta pensijilan yang diiktiraf.

Azhar berkata, GIATtMARA akan memperluaskan kerjasama strategik dengan lebih banyak syarikat dan industri yang berpotensi bagi menjamin lulusan GIATMARA mendapat tempat di dalam dan luar negara mengikut bidang yang diceburi, disamping melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera berkemahiran tinggi.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua peserta kursus yang hadir agar tidak jemu menimba lebih banyak ilmu pengetahuan dan menggunakan bakat dan kemahiran yang ada untuk menjadi pekerja yang profesional atau usahawan yang berjaya.”

MARA dalam proses membangunkan kursus jangka pendek baharu iaitu Bike Maintenance dengan kerjasama Alan Bike School serta beberapa agensi berkaitan bagi mendapatkan sijil pengiktirafan. Kerjasama yang dijalankan ini adalah bagi meningkatkan lebih ramai pekerja dalam industri basikal di seluruh Malaysia serta menjadikan TVET MARA sebagai institusi kemahiran pertama yang menawarkan kursus dalam bidang penyelenggaraan basikal.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.