MARA Virtual Run semarakkan semangat MARA

Peserta larian Hari MARA Ke-54 yang diadakan pada tahun lepas di MAEPS Serdang.

Satu acara larian maya sempena sambutan Hari MARA ke-55 tahun diadakan bagi menyemarakkan kembali semangat MARA dalam komuniti berikutan pandemik Covid-19.

Menurut Timbalan Presiden Kelab Sukan & Rekreasi MARA (KSRM), Zairul Amri Adam, idea penganjuran MARA Virtual Run (MVR) tercetus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghadkan aktiviti sukan secara berkumpulan.

“Pada ketika ini larian fizikal secara besar-besaran tidak dapat dianjurkan akibat pandemik Covid-19, namun kami memikirkan cara lain bagi memastikan komuniti MARA mempunyai aktiviti dan gaya hidup sihat, maka lahirlah idea larian maya ini.

“Larian ini bertujuan membudayakan gaya hidup aktif di samping menyemarakkan semangat MARA dalam komuniti kita,” katanya.

Tambahnya lagi, sejajar format tersebut, seluruh rakyat Malaysia terutamanya komuniti MARA kini boleh menunjukkan sokongan kepada MARA ini dengan menyertai MARA Virtual Run secara maya.

“Oleh kerana acara larian diadakan secara maya, maka para peserta boleh mengadakan aktiviti larian pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada. Apa yang peserta perlu lakukan ialah membuat pendaftaran di 55vrmara.maraeps.my yang kini sudah dibuka sehingga 31 Mac ini.

“Peserta yang sudah berdaftar akan menerima baju T serta pingat dan boleh mengambil bahagian dengan melakukan larian di mana mereka berada bermula dari 1 hingga 31 Mac ini,” katanya.

Penyertaan MARA Virtual Run adalah terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira usia dan dibahagikan dalam tiga kategori iaitu lima kilometer (km), 10km dan 21km. Virtual Run

Selaku penganjur, MARA dan KSRM menyasarkan penyertaan 1,500 peserta yang terdiri daripada orang awam dan komuniti MARA.

This entry was posted in Korporat and tagged , , , . Bookmark the permalink.