MARA TAJA PROGRAM PROFESSIONAL

Pengerusi MARA bersama pelajar yang mendapat tawaran tajaan pelajaran

Oleh: Salwa Sani

Kuala Lumpur, 26 November 2020 – Peluang menjejakkan kaki ke menara gading menjadi idaman setiap pelajar. Dalam kemelut penularan wabak Covid 19, MARA tetap melaksanakan amanah dan tanggung jawab yang diberi melalui bantuan pinjaman pelajaran MARA kepada pelajar yang memerlukan. Apa yang menarik, pada masa kini MARA telah mengorak langkah memberi peluang kepada bakal graduan dari golongan professional mengambil jurusan kepakaran di mana guna tenaga ini dijangka dapat memenuhi pasaran kerja bagi tempoh 2 tahun akan datang.

Melalui penajaan pinjaman pelajaran MARA di bawah Program Professional Development (Pro P), MARA telah berkolaborasi dengan beberapa Badan Profesional serta Jabatan-Jabatan Kerajaan lain dalam usaha merealisasikan hasrat  pelajar yang ditaja untuk bergelar kumpulan pekerja professional (kepakaran) dan mempunyai lesen yang diiktiraf serta secara tidak langsung memberi sumbangan kepada kualiti pendidikan negara. Kolaborasi yang telah bermula dari tahun 2019 berobjektifkan jaminan peluang pekerjaan kepada pelajar yang terpilih berdasarkan bidang kepakaran mereka sekaligus membantu pelajar untuk membayar semula pinjaman yang telah disalurkan.

Berdasarkan pencapaian perlaksanaan program pada tahun 2020, MARA telah berjaya menaja pelajar dalam bidang kepakaran di bawah:

  1. Program Kepakaran Doktor perubatan Keluarga.
  • Program kolaborasi antara “Royal College Of Surgeons In Ireland” bersama Universiti College Dublin Malaysia Campus (RUMC).
  • Program ini adalah program Malaysia Ireland Training for Family Medicine – MlnTFM di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
  • Program ini bertujuan meningkatkan bilangan pakar perubatan dan tenaga mahir dalam bidang perubatan di negara khususnya dikalangan Bumiputera di KKM dan secara tidak langsung meningkatkan peluang mengikuti pengajian pasca siswazah dalam negara.
  1. Program Perubatan Kepakaran di Universiti Sains Malaysia   
  • Program ini adalah program Sarjana Perubatan Kepakaran (kepakaran dalam bidang Paediatrik, Oftalmologi, Perubatan, Surgeri Master of Medicine & Master of Surgery) dengan Latihan klinikal yang intensif dalam bidang-bidang kepakaran perubatan.
  1. Program Sarjana Sains Surgeri (Kardiotorasik) dan Kedoktoran Sugeri (Kardiotorasik)  
  • Program ini adalah satu program dan inisiatif di bawah anjuran UiTM-IJN untuk melatih kepakaran dalam bidang kardiotorasik surgery.
  • Program ini merupakan program kepakaran Kardiotorasik tempatan pertama yang diadakan di Malaysia bagi menambah jumlah kepakaran dalam bidang ini.
  1. Program Diploma Lanjutan Ultrasonografi Perubatan
  • Program Diploma Lanjutan Ultrasonografi Perubatan, dengan kerjasama Australasian Society for Ultrasound in Medicine (ASUM) di Kolej Vision
  • Program ini bertujuan untuk melahirkan profesional sonographer bumiputera untuk keperluan rawatan diagnosis di setiap hospital yang mempunyai permintaan tinggi terutamanya di luar negara.
  • Program ini juga dapat memberi latihan profesional kepada graduan dalam bidang sains sebagai sonographer terlatih.

 Disamping golongan professional yang terdiri daripada doktor di Hospital-hospital Kerajaan, MARA turut memperkenalkan program professional lain seperti Asssociation of Chartered Accountant (ACCA), Certified Public Accountant (CPA), Institute of Chartered Accountants in Englands and Wales (ICAEW) Accountant yang bekerjasama dengan ACCA Malaysia, Malaysian Institute of Public Chartered Accountant (MICPA), ICAEW Malaysia dan Universiti Teknologi MARA (Uitm) telah dipilih sebagai pusat pengajian bagi kursus ini. Selain itu, satu program baru iaitu Elektro Technical Officer (ETO) yang berkolaborasi dengan Jabatan Laut Malaysia turut diperkenalkan.  Pengambilan pelajar bagi kursus ini telah bermula sejak tahun 2019.

Elektro Technical Officer (ETO)

  • Program ini dilaksanakan dengan kolaborasi di antara MARA, Jabatan Laut dan UniKL MIMET.
  • Graduan dari UniKL dan IKM dalam bidang elektrik dan elektronik
  • Electro Technical Officer merupakan pegawai yang berkuasa di unit enjin di atas kapal dagang dan dianggap sebagai kedudukan penting di dalam hierarki juruteknik kapal maju moden di mana mereka bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) semua peralatan elektrik dan elektronik di atas kapal.
  • Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Laut Malaysia, Malaysia amat kekurangan pegawai yang mempunyai lesen professional ini dan mengakibatkan kebergantungan khidmat ini daripada negara luar seperti Singapura dan Filipina.
  • Pelajar yang diberi peluang kerja akan menerima gaji yang lumayan dan bekerja bersama syarikat perkapalan antarabangsa.

Ternyata pelaksanaan PKP dan penularan wabak COVID-19 telah menjejaskan ‘daya imuniti’ pelbagai pihak yang terlibat. Namun begitu, MARA terus mengorak langkah dalam memastikan pelajar di bawah tajaannya dapat meneruskan dan menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan dalam suasana norma baharu kesan daripada penularan pandemik Covid 19 ini. Semangat para graduan yang komited dalam menggalas tanggungjawab sebagai pelajar menjadi pemangkin kepada MARA untuk meneruskan penajaan bagi bidang profesional demi memastikan masyarakat bumiputera dapat bersaing di pasaran kerja kelak.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.