Pejabat MARA Jerman Bantu Atasi Keresahan Pelajar

Frankfurt, Jerman 15 Julai – Covid-19 telah banyak merubah senario dunia. Bukan hanya dari segi fizikal, dimana kita perlu memakai pelitup muka di tempat awam dan menjaga jarak antara satu sama lain, tetapi juga dari segi bagaimana kita menangani kesan kepada psikologi dan emosi orang-orang disekeliling kita. Bertitik tolak daripada kesedaran ini maka, Pejabat MARA Jerman dengan kerjasama beberapa kedutaan Malaysia di luar negara seperti kedutaan besar Malaysia di Berlin, Paris, Madrid, Prague serta Moscow dan pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt telah menjalankan beberapa aktiviti untuk membantu pelajar menangani kegusaran saat menghadapi pandemik ini.Program pertama yang dijalankan adalah program bernama “Merisik Khabar” dimana pihak MARA dan kedutaan mengadakan sesi perjumpaan didalam talian dengan wakil-wakil pelajar MARA serata Eropah . Melalui perjumpaan ini, mereka dapat mengikuti perkembangan pelajar dan juga dapat mengetahui sebarang masalah berbangkit di universiti atau tempat tinggal mereka.

Program ini dimulakan pada April dan pada ketika ini akan diteruskan sehingga Disember 2020.

Selain daripada bertanya khabar, pihak MARA dan kedutaan juga tidak ketinggalan menitipkan pesanan kepada para pelajar agar peka dengan arahan semasa kerajaan tempatan dan juga sentiasa berhubung dengan pihak Kedutaan juga Konsulat untuk perkembangan terkini penularan wabak Covid-19.

Satu lagi usaha yang dijalankan, ialah dengan mengadakan satu sesi “Mental Health Talk” secara atas talian. Program ini telah diusahakan oleh Persatuan Pelajar Islam Malaysia di Jerman (AZIM) dengan kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia Frankfurt, Pejabat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Frankfurt serta Pejabat MARA Jerman. Ianya telah diadakan pada 26 Jun 2020 melalui FB Live AZIM.

Penceramah jemputan untuk sesi ini adalah Puan Hajjah Azlina @ Roszy Binti Mohamad Ghaffar yang merupakan Consultant Clinical Psychologist di Founder Center of Phychology and Rehabilitation of Atfal Jannah, Klinik Psikologi Azlina. Beliau berkongsi tips dengan para pelajar bagaimana untuk mengelakkan diri dari kemurungan danmeredakankeresahanmereka memandangkan kebanyakan daripada mereka sedang melalui tempoh lockdown, satu tempoh yang sukar, di luar negara. Program ini disertai oleh pelajar Malaysia di sekitar Eropah.

Turut hadir di sesi dalam talian ini adalah Encik Ardi Shah Erwan bin Abd Rahim (Konsul Muda) Konsulat Jeneral Malaysia Frankfurt, Encik Awang Hafifudin Bolkiah Bin Awang Hasmadi (Konsul Pendidikan dan Latihan), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Frankfurt dan Encik Nur Ahmad Fadhli bin Mohd Naim (Pengarah MARA Frankfurt).

Semoga usaha-usaha yang telah dijalankan oleh pihak berwajib di luar negara ini dapat mengurangkan keresahan (anxiety) pelajar dan juga ibu bapa yang mungkin risau memikirkan keadaan anak mereka di perantauan.

Sumber Berita : Buletin Pendidik MARA 
Diedit oleh : BITK

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.