Merisik Khabar Pelajar Luar Negara

Walaupun berjauhan dari keluarga tercinta, Alhamdulillah, saya dan kawan-kawan berada dalam keadaan baik. Bekalan makanan di pasaraya kawasan ini sentiasa ada, dan kelas dijalankan secara dalam talian. Kami sangat bersyukur dengan keperihatinan yang telah ditunjukkan oleh pihak MARA dan juga Kedutaan Malaysia di Jerman, kebajikan kami sentiasa terjaga. – Fatin Nooraina Mohamad Azhar, Tahun 3 Kejuruteraan Mekatronik University of Applied Science Wurzburg-Schweinfurt

Pada Pandangan saya, pihak MARA dan juga Kedutaan Malaysia di Jerman telah menjalankan tugas yang baik dalam menjaga hal-ehwal juga kebajikan pelajar di Jerman.
– Aniq Danial, Kejuruteraan Mekatronik Hochschule Augsburg

Komuniti pelajar Malaysia di Moscow semuanya berada dalam keadaan baik sahaja meskipun berada dalam keadaan kuarantin. Bekalan makanan dan barang keperluan masih mencukupi walaupun kami hanya menggunakan khidmat penghantaran. Pembelajaran semuanya didalam talian dan ia tidak sukar. Kami juga sentiasa berhubung dengan pihak MARA Frankfurt dan pihak kedutaan Malaysia, memaklumkan mereka maklumat terkini kami serta membincangkan sebarang masalah yang timbul. Semua pihak mencuba yang terbaik untuk membantu pelajar yang menghadapi masalah besar atau kecil.
 – Muhammad Izuddin bin Misuan, Tahun 3 Kejuruteraan Aeronautik Moscow Aviation Institute

Keadaan kami , pelajar Malaysia di Rusia sewaktu dilanda Covid 19 ini sememangnya mengalami banyak perubahan tetapi masih terkawal. Seperti rakan-rakan pelajar di negara lain, kami mengikuti kelas secara maya dan telah diarahkan untuk kekal berada di rumah. Bekalan makanan masih mencukupi. Pihak MARA Jerman dan kedutaan Malaysia di Moscow juga sentiasa berhubung rapat dengan kami dan cakna dengan keadaan kesihatan dan kebajikan kami disini. Saya berharap keluarga saya di Malaysia tenang, doakan keselamatan kami dan tidak perlu risau akan keadaan saya disini. Semoga keadaan segera pulih.
-Sara Tasya Natalie binti Rahim, Tahun Akhir Perubatan First Moscow State University, Rusia

Situasi di Sepanyol semakin pulih sejak PKP dikuatkuasakan pada 14 Mac. Kedai keperluan asas dibuka dan barang- barang mudah diperolehi. Setakat ini kebanyakan universiti telah mengambil keputusan untuk meneruskan baki kelas untuk semester ini secara dalam talian, termasuklah pembentangan tesis pelajar. Kami juga berterima kasih kepada pihak MARA atas langkah-langkah proaktif yang telah mereka ambil dalam menjaga kebajikan kami disini.
-Syafirul Ariff Selimin, Wakil Pelajar Malaysia di Sepanyol

Kepada semua ahli keluarga di Malaysia, tidak perlu risaukan keadaan kami di sini yang sentiasa sihat- sihat belaka walaupun merindui kalian semua di tanahair. Pihak Kedutaan Malaysia, MARA, MAB, SKYVAX, Kerajaan Malaysia dan Republik Czech keseluruhannya, sentiasa berganding bahu dalam memastikan keselematan dan kesejahteraan kami di sini. Sama-sama kita berdoa agar wabak ini segera hilang dan kami dapat pulang dengan selamat untuk berkhidmat pada negara.
-Fakhrul Halim bin Mohamad, Kadet Juruterbang tajaan MARA dan Malaysian Airlines
DSA Aviation Company dan Czech Aviation Training Centre (CATC)

Sumber Berita : Buletin Pendidik MARA
Diedit oleh : BITK

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.