10 Petua Melangkah Ke Alam Perniagaan

Encik Zamri bin Abu pengusaha produk sarang burung yang berpengalaman dan merupakan antara usahawan MARA yang berjaya.

Menceburi dunia perniagaan bukan sebuah perkara mudah untuk kita lalui dan seseorang yang hendak menjadi usahawan perlu mempunyai ilmu pengetahuan jika hendak memulakan sesuatu perniagaan.

01. Kenali produk anda
Untuk menjadi seorang usahawan, kita perlu mengenal pasti produk apa yang kita hendak jual dan siapakah kumpulan sasar yang bakal menjadi pembeli produk kita. Setiap perkara yang kita hendak mulakan, kita perlu mengkaji segala perincian yang ada agar memudahkan perkembangan laluan perniagaan kita.02. Tolak sebarang tanggapan negatif
Kita juga perlu bersedia menepis sebarang tanggapan dan kritikan orang yang mengatakan berniaga ini susah yang mungkin berniat jahat untuk menjatuhkan kita. Apa yang paling penting ialah kita harus terus melangkah ke hadapan tanpa menoleh kebelakang dan sentiasa berusaha tingkatkan fokus untuk memajukan perniagaan kita.

03. Pengurusan kewangan yang bijak
Ramai orang terjebak dan tersilap langkah dalam hal mengurus kewangan sehingga mereka terjatuh ke lembah hutang yang memberikan kesulitan dalam kehidupan mereka. Justeru itu, kita perlu rajin belajar dengan mengikuti kursus mengurus kewangan dan bagaimana cara mentadbir urus syarikat kita dengan baik agar efisien dan berkesan. Berdasarkan pengalaman saya, “pengurusan kewangan saya pada awal perjalanan perniagaan ini memang agak berterabur. Setelah saya mengikuti kursus pengurusan kewangan, barulah saya nampak cara untuk kita mengurus belanja yang betul agar hasil jualan dan keuntungan tidak bercampuraduk.”

04. Peka menguruskan masa
Jangan terlalu selesa dengan masa yang kita peroleh sehingga kita lalai untuk memanfaatkan masa yang lapang. Apabila anda telah bergelar sebagai seorang usahawan, anda perlu memberi komitmen dan fokus yang tinggi untuk sentiasa berfikir bagaimana cara untuk membuat pembaharuan produk, strategi meluaskan pasaran produk dan pelbagai lagi.

05. Belajar trend terkini
Pemasaran secara online terlalu meluas pada masa kini. Saya melihat setiap usahawan perlu belajar cara untuk memanfaatkan platform media sosial yang sangat berkesan untuk mengiklan dan mempromosikan produk-produk. Ianya sangat fleksibel, jimat dan tidak memerlukan kos yang tinggi untuk memasarkan produk secara mudah.

06. Kenali platform agensi keusahawanan
Sebelum ini saya tidak mengenali MARA. Saya hanya mendengar MARA itu hanya ada GIATMARA dan pendidikan di bawah MARA. Bila saya mendaftar diri sebagai usahawan MARA banyak peluang dan laluan yang diberikan oleh MARA seperti pemasaran produk, pembungkusan, pembiayaan, khidmat nasihat, dan cara untuk menonjolkan diri dalam media sosial dan banyak lagi manfaat yang kita dapat perolehi daripada MARA.

07. Berdaya saing
Pada masa ini kita melihat begitu ramai usahawan menjual produk yang pelbagai. Antara satu benda penting untuk kita utamakan ialah memastikan produk kita halal, bersih, selamat, serta bermutu tinggi. Penekanan ini akan memberi keyakinan kepada pembeli untuk menggunakan produk kita. Secara tidak langsung, kita juga dapat mengurangkan sedikit cabaran bersaing dengan usahawan yang lain.

08. Kaji semula kelemahan produk
Setiap produk yang dihasilkan tidak akan sempurna. Oleh itu, kita perlu memberi penekanan dalam menghasilkan produk yang bermutu, harga mampu milik dan mengikut harga pasaran. Kritikan dan komen daripada pelanggan itu adalah penting untuk kita mengenal pasti kelemahan produk agar kita dapat kaji balik dan tingkatkan kelemahan tersebut.

09. Kreatif dan inovatif Elemen ini adalah penting agar kita terus berupaya berdaya saing.
Usahawan yang berjaya adalah usahawan yang sentiasa mempunyai idea yang baharu. Kita perlu melihat produk-produk usahawan yang ada di pasaran, kita perlu tahu apa misi
dan visi perniagaan dan skop pemasaran yang mereka lakukan agar kita boleh memperbaharui produk sedia ada serta menjadikan kelainan dan unik pada produk tersebut.

10. Bersedia mendepani cabaran yang mendatang
Kita tidak dapat meramalkan sebarang kemungkinan cabaran yang melanda ekonomi. Pandemik COVID-19 telah banyak memberi kesan kepada aktiviti perniagaan terutamanya golongan usahawan Industri Kecil Sederhana malahan syarikat besar pun ada yang gulung tikar. Justeru itu, kita perlu minimumkan perbelanjaan yang mungkin membazir agar kita boleh kekalkan perkara yang sedia ada.

Dalam perkongsian ini, beliau turut merasa bersyukur dan berpuas hati terhadap kemudahan yang disediakan oleh MARA kepada usahawan Bumiputera.

“Saya sangat bertuah kerana menjadi usahawan MARA yang banyak memberi manfaat kepada saya. Pelbagai manfaat yang saya perolehi yang mungkin tidak ada pada agensi lain.Segala perkara yang melibatkan proses oleh MARA dilakukan dengan terurus dan cepat. Saya merasakan semua usahawan Bumiputera perlu sedar dan ambil tahu kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh MARA.” kata Encik Zamri bin Abu.

Kredit : BITK 
Buletin e-Keusahawanan MARA

This entry was posted in Lain-Lain, Usahawan. Bookmark the permalink.