Rural Business Outlet (RBO)@ KPLB MARA Sebagai Agensi Pelaksana Bantu Promo Produk Usahawan

PUTRAJAYA, Seramai 61 usahawan di bawah agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah terpilih bagi mengikuti product pitching bagi program Rural Business Outlet (RBO@KPLB).

Program RBO@KPLB berkonsepkan pusat sehenti yang bakal memasarkan produk para usahawan desa dari agensi di bawah KPLB yang terpilih dan berpotensi. Ianya ditubuhkan bagi memenuhi permintaan masyarakat untuk mendapatkan produk usahawan desa yang sebelum ini hanya dipasarkan di kawasan setempat atau secara bermusim.Justeru dengan adanya RBO@KPLB sebagai platform, dapat membantu mempromosikan produk usahawan desa ke peringkat nasional dan secara tidak langsung membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada warga tempatan dengan pertambahan pengeluaran produk.

Salah seorang usahawan MARA yang menghadiri sesi padanan produk RBO@KPLB ialah Arisprop Holdings Sdn. Bhd. Merupakan pengeluar utama bagi produk sejuk beku berjenama Aris Burger. Menurut Pengurus Operasi dan Pembangunan Perniagaannya, Encik Faizal bin Najib Abdullah pemilihan syarikat beliau ke sesi ini sebagai salah satu usaha ke arah merealisasikan aspirasi syarikatnya untuk menjadi syarikat peneraju bagi keluaran burger ayam kampung kacuk komersil.

“Sesi ini dapat memberi peluang kepada syarikat saya untuk meluaskan pasaran khususnya dalam mempromosi produk ke pasaran antarabangsa pada masa akan datang” katanya.

Datuk Dr. Abd Latif bin Ahmad, Menteri Pembangunan Luar Bandar turut hadir dalam sesi Walkabout meninjau beberapa produk usahawan, menyatakan sokongan kementeriannya melalui inisiatif yang ditawarkan dalam membantu membangunkan usahawan Bumiputera dan menyarankan agar para usahawan mempunyai identiti produknya sendiri.

Sementara itu, menurut Encik Amin bin Husin, Pengurus Noraini Cookies Worldwide Sdn. Bhd, berharap dapat bekerjasama dengan pihak MARA dan KPLB dalam merealisasikan pasaran produk syarikatnya ke peringkat antarabangsa.

“Syarikat kami merupakan pengeluar bagi produk biskut dan tepung segera yang ada dijual di halal mart dan pasaraya berjenama. Kami dapat banyak peluang daripada MARA dari segi kursus, pembiayaan dan turut serta bersama MARA bagi promosi produk sehingga ke luar negara” katanya. “Harapan saya agar syarikat kami terus diberi peluang bekerjasama dengan pihak MARA dan KPLB dalam mempromosikan produk kami” tambah beliau.

Manakala Puan Juliyana Jamil dari Julies Salon berasa bertuah kerana terpilih menghadiri sesi padanan ini. Usahawan hasil didikan MARA Negeri Selangor ini telah menerima manfaat dalam bentuk pinjaman serta mengikuti kursus keusahawanan bersama MARA.

“Ini merupakan kali pertama saya hadir sesi padanan produk dan saya berasa teruja kerana diberi peluang menghadiri program seumpama ini. Beliau juga baru sahaja mengeluarkan produk kecantikan rambut seperti tonik, serum dan syampu dan telah mempunyai beberapa cawangan spa dan salon milik beliau sejak 10 tahun lalu.

Barisan panel bagi pemilihan product pitching ini terdiri dari wakil KPLB, MARA dan SD Impex Sdn Bhd selaku wakil operator. RBO@KPLB bakal dilaksanakan dalam bentuk pasar mini premium yang menempatkan produk usahawan desa yang terpilih berdasarkan tiga kluster iaitu makanan, fesyen dan kraf. Lokasi berpotensi yang telah dipilih adalah di Anggerik Mall, Shah Alam Selangor yang akan menjadi lokasi pertama bagi perlaksanaan RBO@KPLB.

Sumber : e-Buletin Keusahawanan MARA

 

This entry was posted in Lain-Lain, Usahawan. Bookmark the permalink.