Petikan ini diambil dari hasil coretan Nik Zainun Nik Abu Bakar, dari buku Menenun Zaman Antologi Memoir Diri. Beliau merupakan bekas guru biologi MRSM yang kini bergiat aktif menulis cerpen, puisi dan autobiografi usai persaraannya.
Helaian Kenangan
Sepanjang perjalanan ke Jeli, wajah bekas pelajarku Zamrin dan beberapa orang lagi pelajar yang berada sekelas dengan beliau iaitu kelas 5C, datang silih berganti. Pelajar- pelajar yang berada didalam kelas biologi yang aku ajar dimana didalam kelas tidak pernah menimbulkan masalah. Semua kerja rumah dapat disiapkan dan keputusan ujian dan peperiksaan Biologi sentiasa membanggakan diriku sebagai guru mereka.
Masalah berlaku semasa diluar kelas, semasa mereka berada di asrama. Kerap tertangkap menghisap rokok menyebabkan mereka dihadapkan ke mahkamah maktab. Pernah digantung persekolahan kerana kes tersebut. Ada sesetengah guru mengungkit perkara ini semasa mengajar dan menyebabkan mereka dipandang serong oleh guru-guru dan kawan- kawan dalam kelas.
Aku yang sentiasa meluangkan masa mendengar masalah dan luahan perasaan mereka cuba untuk tidak menghakimi. Berlapang dada dan cuba seboleh- bolehnya untuk memberi nasihat supaya mereka mengambil inisiatif untuk berhenti merokok. Sekurang- kurangnyamereka tidak akan dikenakan tindakan dibuang maktab sebelum menghadapi peperiksaan SPM yang berbaki berberapa bulan lagi.
Tindakan terdesak yang aku ambil ialah dengan membeli sejenis pil gula-gula yang boleh dikunyah apabila rasa gian untuk merokok datang melanda. Aku membuat pembelian di klinik swasta dengan menggunakan wang aku sendiri.
Telefon bordering kuat. Nombor yang tidak dikenali. Beberapa kali nombor yang sama mengganggu fokus pemanduanku.
“Waalaikumusalam. Sape ni ya?”. Setelah deringan kali ke-empat daripada nombor yang sama, aku terpaksa memberhentikan kereta untuk menjawab panggilan.
“Saya ni, Zamrin” Suara yang agak garau menjawab pertanyaanku.
“Ya Allah, awak Zamrin. Awak kat mana sekarang ni?”
“Saya dalam perjalanan berjumpa Puan la ni”
Beliau memohon untuk aku menunggu beliau di satu kedai makan di tepi jalan di Besut. Katanya beliau akan sampai di situ dalam masa 15 minit.
“Alhamdulillah dapat jumpa Cikgu. Lama dah saya dok teringat dan nak jumpa Cikgu” Ayat Zamrin yang pertama kepadaku setelah hampir enam belas tahun tidak berjumpa. Kali terakhir berjumpa beliau dalam tahun 1993 semasa beliau menduduki peperiksaan SPM.
“Cikgu tak berubah pun, masih macam dulu juga. Tak tua, saya pula yang tua!” Zamrin ketawa terkekeh- kekeh.
Zamrin nak ucapkan terima kasih kepadaku kerana atas usaha aku katanya beliau dulu dapat berhenti merokok sekejap semasa di maktab sehinggalah habis peperiksaan SPM.
Dia juga dapat terus belajar di MRSM hingga ke akhir kerana aku seorang guru yang sentiasa melayan pelajar sama rata dan dia dapat rasakan kasih sayang yang ikhlas yang aku curahkan terutama kepada pelajar-pelajar bermasalah seperti beliau. Lama juga dia tidak merokok tetapi disebabkan godaan semasa di universiti, tabiat merokok datang kembali.
Selepas hari itu, Zamrin kerap juga menghubungiku. Kali terakhir kami bertemu adalah semasa beliau hadir ke majlis perkahwinan anak sulungku pada tahun 2010. Walaupun kami tidak berjumpa, Zamrin kerap juga menelefon bertanya khabar dan bercerita pasal projek-projek yang beliau dapat dan sedang kendalikan.
Aku macam tidak percaya apabila bercakap dengan seorang bekas pelajar dalam tahun 2017, yang singgah di tempat kerjaku di MRSM Jeli, tiba-tiba satu pertanyaan yang beliau utarakan menyebabkan jantungku berhenti seketika.
“Cikgu tahu ke ada seorang bekas pelajar MRSM KT, kalau tak silap, SPM tahun 1993, berasal dari Kg. Raja, Besut meninggal dalam kereta dua tiga bulan lepas”.
“Siapa ya?” Aku bersuara perlahan. Jawapannya memang sudah aku jangka. Terasa sempit tekak. Aku telan air liur perlahan- lahan. Aku Tarik nafas dalam-dalam. Mata terasa perit, pedih dan berair.
“Zamrin. Katanya kena serangan jantung. Baru lepas jogging, masuk dalam kereta tapi tak sempat nak start enjin”.
Innalilla hiwainna ilahi rojiun! Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Aku susun kata titipan doa untuk arwah dengan setulus dan seikhlas hati, cuba membendung perasaan sebak yang menggunung dalam dada. Allah lebih menyayangi beliau.
Menjadi seorang guru sangat mencabar , memerlukan kesabaran yang tinggi untuk membimbing para pelajarnya yang mempunyai latar belakang yang pelbagai. Latar belakang keluarga salah satu faktor yang menentukan sikap dan pencapaian pelajar- pelajar.
Sebagai seorang guru, aku tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan. Walaupun sentiasa berkorbang masa dan kadang-kadang wang ringgit.
Sudah ribuan pelajar yang pernah bersamaku, menerokai keajaiban ciptaan Yang Maha Esa melalui subjek biologi yang aku ajar selama hampir dua puluh satu tahun, tidak pernah aku mengharapkan balasan dalam bentuk wang ringgit dan emas permata. Tetapi cukup dengan ucapan terima kasih dan ingatan, menjadikan diri ini sangat dihargai.
Cikgu Nik Zainun Nik Abu Bakar telah mencurahkan bakti sebagai tenaga pendidik di MRSM selama 33 tahun sebelum bersara pada Mei 2018. Beliau memulakan perkhidmatannya dengan MARA di MRSM Kuala Terengganu (KT) pada tahun 1985 sebagai guru Biologi dan Sains. 14 tahun di MRSM KT, seterusnya beliau ke MRSM Pengkalan Chepa selama enam (6) tahun sebelum ditukarkan ke MRSM Jeli untuk menjawat jawatan Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik. Pada tahun 2010 sehingga 2013 beliau berkhidmat di MRSM Tumpat sebagai Penolong Pengetua. Dua jawatan terakhir beliau adalah sebagai Pengetua di MRSM Kubang Pasu dan MRSM Jeli.
Cikgu Nik Zainun sangat aktif dalam penulisan cerpen dan juga puisi. Karya-karya beliau banyak yang telah dibukukan.
Seorang ibu kepada lima (5) anak, 4 darinya adalah puteri, Cikgu Nik Zainun kini menetap di Wakaf Baru, Kelantan bersama suami dan anak-anaknya. Selain menulis, yang memberi ketenangan kepada Cikgu Nik Zainun adalah menghabiskan masa bersama tiga (3) orang cucu kesayangan nya.
Karya-karyanya juga boleh didapati di MARA Knowledge Centre (MKC), Tingkat 4, Ibu Pejabat MARA.