MARA Gerak Semula Agenda Memajukan Usahawan

Majlis Amanah Rakyat (MARA) ialah agensi kerajaan memfokuskan pembangunan sosioekonomi Bumiputera. Temu bual bersama Y.Bhg. Datuk Azizah binti Mohd Dun, Pengerusi MARA, mengenai hala tuju agensi yang sinonim dengan keusahawanan tetapi dikatakan mahu kembali kepada matlamat asal iaitu pendidikan, sekali gus menimbulkan persoalan apa bakal terjadi pada teras penubuhannya yang lain. S: MARA cukup sinonim dengan keusahawanan dan pendidikan, menjadi nadi kepada Bumiputera sejak penubuhannya pada 1 Mac 1966. Apakah hala tuju dan matlamat dicapai dalam usaha memperkasakan peranan membangunkan Bumiputera.

J: Apabila disebut MARA, perkara pertama dikaitkan ialah hal ehwal ekonomi dan sejak MARA ditubuhkan, fokus utama ialah keusahawanan. Ini kerana kita percaya, kelangsungan sesuatu bangsa adalah melalui keusahawanan. Bagaimanapun untuk berjaya, Bumiputera mesti mempunyai ilmu pengetahuan atau pendidikan, maka sektor pendidikan diwujudkan dengan pembinaan institut latihan dan pendidikan. Hala tuju MARA sangat jelas, bermatlamat memperkasakan penguasaan ekonomi dan peningkatan pemilikan ekuiti terutama melalui aktiviti keusahawanan. Namun, pendidikan dan pelaburan, iaitu menjadikan MARA itu sangat dekat dengan Industri, harus bergerak seiring. Barulah hasrat MARA akan tercapai. Motto MARA sendiri, ‘keusahawanan dan pendidikan global,’ bukan ‘pendidikan dan keusahawanan global.’ Ada sebab kenapa keusahawanan disebut dahulu.

S: Pandemik COVID-19 memberikan impak besar kepada aliran tunai kebanyakan usahawan Bumiputera. Sebagai agensi terbabit dalam pembangunan keusahawanan, apakah fungsi dimainkan MARA?

J: Sebahagian besar usahawan Bumiputera menghadapi isu penurunan produktiviti dan jualan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19. Selain menyalurkan bantuan menerusi Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Skim kemudahan Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan MARA (SPAK) dan diskaun serta pengecualian sewa bagi membantu usahawan Bumiputera, MARA menyediakan program keusahawanan secara dalam talian, iaitu MARA Webinar, FB Live Biztalk dan FB Live Biznetwork. MARA Webinar ialah kursus membabitkan 300 usahawan dan berlangsung dalam tempoh satu hingga tiga hari bagi setiap sesi. FB Live Biztalk pula sesi perkongsian antara peserta industri dan usahawan, terutama usahawan luar bandar untuk menimba pengalaman dan pengetahuan bersesuaian cabaran semasa pandemik COVID-19, manakala program FB Live Biznetwork dilaksanakan untuk membantu usahawan luar bandar mengadakan promosi dan membina jaringan perniagaan. Pandemik COVID-19 juga mengakibatkan ada antara usahawan terpaksa keluar daripada premis perniagaan kerana tidak mampu membayar sewa, malah ada terpaksa menghentikan operasi perniagaan. Melalui ekosistem keusahawanan lengkap, MARA menawarkan lot premis perniagaan dengan kadar sewa lebih rendah khusus bagi membantu usahawan Bumiputera membina semula perniagaan terjejas. MARA turut membantu usahawan kelompok kontraktor Bumiputera melalui tawaran kerja penyelenggaraan Premis Perniagaan MARA di seluruh negara melalui peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020 dengan implikasi kewangan sebanyak RM50 juta.


S: Secara keseluruhan, berapakah jumlah bantuan dan pembiayaan sudah disalurkan MARA setakat ini untuk membantu usahawan Bumiputera?

J: Sejak penubuhan agensi Lembaga Kemajuan Kampung dan Perubahan (RIDA) hingga menjadi MARA sejak 1951 sehingga kini, MARA membantu 268,994 usahawan dengan kemudahan pembiayaan perniagaan berjumlah RM8 bilion.

S: Adakah MARA akan meneruskan program membabitkan kewangan untuk membantu usahawan Bumiputera kerana ada stigma menyatakan jika kerap diberi bantuan, sampai bilakah mereka akan berdikari.

J: MARA akan terus melaksanakan program membabitkan peruntukan kewangan untuk membantu kelangsungan usahawan Bumiputera. Namun, agihan peruntukan akan dibuat dengan efisien dan mematuhi syarat agar adil dan dapat memberi manfaat kepada semua lapisan usahawan memerlukan bantuan terutama usahawan luar bandar. Agihan peruntukan dibahagikan mengikut industri tertentu seperti makanan dan minuman (F&B), automotif, gaya hidup, pembinaan dan perkhidmatan.

S: Apakah fungsi MARA dalam membantu usahawan Bumiputera khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana?

J: MARA menyediakan ekosistem keusahawanan lengkap dalam membantu usahawan Bumiputera menumpukan pembangunan usahawan. Program ditawarkan bertujuan menyediakan usahawan dengan ilmu perniagaan diperlukan melalui latihan dan program keusahawanan direka khas MARA. Pembangunan perniagaan bertujuan meningkatkan kapasiti perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa merangkumi program padanan perniagaan dan penjenamaan bersama peserta industri. Program Gate To Global (GTG) adalah antara program disediakan khas oleh MARA dalam memfokuskan pemasaran bagi membantu usahawan meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat Bumiputera agar berdaya saing menembusi pasaran antarabangsa. MARA juga menyediakan kemudahan sokongan di bawah ekosistem keusahawanan merangkumi kemudahan pembiayaan perniagaan, sewaan premis perniagaan dan khidmat nasihat.




This entry was posted in Lain-Lain, Usahawan. Bookmark the permalink.