MARA Fokus Perkasa Usahawan Bumiputera ; Agensi turut semak pelaburan sebelum bentang hala tuju baharu

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menumpukan semula kepada agenda memperkasa pembangunan usahawan Bumiputera, sambil menyemak pelaburannya sebelum membentangkan hala tuju baharu.

YB. Datuk Azizah binti Mohd Dun, Pengerusi MARA berkata dua teras itu di samping dua lagi iaitu pendidikan dan khidmat pengurusan, perlu menjadi fokus berterusan agenda agensi kerana saling berkait.Beliau khuatir; jika penumpuan hanya diberi kepada satu sektor dan mengabaikan kepentingan lain, MARA akan gagal dalam matlamatnya membangunkan Bumiputera.

“Tumpuan harus diberikan kepada semua teras, bukan hanya kepada sesuatu sektor seperti pendidikan. Keempat-empat teras itu saling berkaitan.

“Jika penumpuan hanya kepada satu sektor dan mengabaikan sektor penting lain, MARA akan gagal mencapai matlamatnya membangunkan Bumiputera. Kita perlu memperkasakan hala tuju kerana semua itu tercatat dalam Akta Majlis Amanah Rakyat 1966 iaitu Akta 489.

“Kita tidak boleh hanya menumpukan usaha melahirkan insan cemerlang, tetapi perlu memikirkan bagaimana mereka boleh meningkatkan ekonomi negara, sekali gus memberi semula peluang pekerjaan,” katanya kepada BH.

Azizah menegaskan, menerusi pemerkasaan sektor keusahawanan, lebih ramai golongan sasaran dipertingkatkan.

Beliau berkata, ekonomi Bumiputera dapat dipertingkatkan dan pada masa sama usahawan Bumiputera yang berjaya dapat memberi sumbangan semula melalui pendanaan dan pekerjaan.

“MARA akan terus memperkasakan keusahawanan sehingga sampai tahap mereka yang mendapat bantuan ini berjaya, boleh menyumbang kembali kepada golongan sasar. Ini yang kita mahukan, bersama meningkatkan golongan sasaran.” katanya.

Azizah yang dilantik mengetuai MARA pada 1 Mei lalu, berkata agensi itu juga akan menyemak semula sektor pelaburannya sebelum membentangkan hala tuju pelaburan yang baru tidak lama lagi.

“Pelaburan aspek penting kepada MARA kerana melaluinya kita dapat menjana kewangan, yang akan digunakan semula dalam memberi pembiayaan pendidikan dan keusahawanan.

“Jika pelaburan tidak terus diberi tumpuan, bagaimana kita ingin memperkasakan agenda memajukan Bumiputera. Kita tidak mahu menjadi agensi yang sentiasa meminta kepada kerajaan, perlu ada usaha menjana pendapatan sendiri.

“Pelaburan yang akan dijalankan kelak juga akan pelbagai. Kami tidak menolak kemungkinan jika ada pelaburan ke dalam syarikat pemula niaga atau syarikat yang terbabit dalam teknologi baharu. Semuanya mungkin, boleh dipertimbangkan jika ia memberikan pulangan,” katanya.

Selain itu pembabitan MARA dalam bidang pelaburan adalah tertumpu kepada industri yang diperlukan untuk melengkapkan ekosistem keusahawanan dan pendidikan MARA, umpamanya pembabitan MARA dan sektor berteknologi tinggi lain.

Ketika ditanya mengenai pelantikannya sebagai ahli politik menerajui agensi itu, Azizah berkata, tidak timbul isu mengenai perkara terbabit kerana apa yang penting agenda yang dibawa perlu selari dengan objektif MARA.

Beliau menyifatkan, pemilihan ahli politik seperti dirinya lebih membantu dan membawa MARA ke landasan yang tepat kerana mereka membawa suara dan kemahuan rakyat.
“Saya tidak melihat masalah siapa diberi tanggungjawab itu, kerana dalam mengetuai MARA, pada saya seorang itu perlu mempunyai jiwa dan berpegang kepada tiga prinsip utamanya. Pertamanya, kita memahami matlamat MARA. Seterusnya, ia mesti berlandaskan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dengan memberi perhatian kepada Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak,” katanya.

Katanya, sebagai ahli politik, beliau sentiasa berada dekat dengan masyarakat terutama golongan B40. “Kita tahu bagaimana keadaan dan keperluan mereka. Kita bawa maklumat itu masuk ke dalam MARA, sama ada dipertingkat atau diperbagaikan kaedah. “Berbeza dengan teknokrat, mereka lebih tertumpu kepada usahawan membawa pelaburan tetapi sebenarnya kita perlu melihat keperluan akar umbi kerana itulah matlamat MARA ditubuhkan supaya mengambil kira keperluan rakyat,”katanya.

This entry was posted in Lain-Lain, Usahawan. Bookmark the permalink.