JANA NIAGA: Bantuan Usahawan Terjejas Akibat Pandemik COVID-19

BEAUFORT, Program JANANIAGA merupakan platform usahawan meluaskan rangkaian serta mempromosikan perniagaan terutama bagi membantu golongan sasar yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19 sekaligus dapat menjana pendapatan usahawan. JANANIAGA telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Hajah Azizah binti Mohd Dun, Pengerusi MARA, di Dewan Pa’ Musa, Beaufort, Sabah. Program selama dua hari dibahagikan kepada beberapa segmen iaitu pameran dan gerai jualan, bengkel dan klinik keusahawanan serta sesi padanan perniagaan.Dalam majlis tersebut, YB. Pengerusi MARA telah menyerahkan surat tawaran serta cek pembiayaan kepada 12 usahawan yang telah mendapat kelulusan pembiayaan perniagaan mereka. Keseluruhan jumlah pembiayaan yang telah diluluskan oleh MARA bagi daerah Beaufort adalah bernilai RM802,000.00.

Salah seorang usahawan penerima yang terlibat dalam bidang pembinaan, Encik Roslan Murih, 47, menyifatkan bantuan pembiayaan ini merupakan satu peluang baginya untuk mengembangkan perniagaannya yang terjejas akibat pandemik COVID-19. “Dengan adanya modal tambahan, saya dapat menyiapkan sebarang projek dengan lancar. Justeru saya mengucapkan terima kasih kepada MARA atas kepercayaan dan kelulusan bagi memulihkan kembali perniagaan saya yang terjejas”.

Manakala Puan Hanie binti Martin, 51, seorang usahawan dalam bidang binaan berkata beliau amat berpuashati dapat menyertai program dan bengkel seumpama ini kerana MARA menyediakan banyak informasi dan cara yang boleh digunakan bagi mengembangkan perniagaannya dalam bidang binaan. “Program ini sebaiknya diadakan dengan lebih kerap di kawasan luar bandar kerana kesukaran usahawan untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan keusahawanan disamping kemudahan internet yang terhad ”.

Bagi Puan Minah binti Diso, 51, yang menjalankan perniagaan Kedai Runcit Rempah Ratus Minah Bawang berkata, beliau amat bersyukur kerana diberikan pembiayaan meneruskan perniagaan tersebut. Rata-rata usahawan yang menyertai program ini telah menerima maklumbalas positif begitu juga daripada pengunjung yang berpuashati dengan penganjuran karnival seumpama ini.

Bersempena program ini, YB Pengerusi turut mengumumkan Skim Pembiayaan Pembelian Premis dengan had maksima RM1juta bagi syarikat enterprise dan RM2juta bagi syarikat Sdn Bhd. Usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan tetapi mempunyai saiz premis yang terhad adalah digalakkan untuk memohon melalui permohonan atas talian.

Turut hadir dalam majlis ialah YB. Datuk Isnin bin Haji Aliasnih, Adun Klias, YBhg. Dato’ Zulfikri bin Osman, Timbalan Ketua Pengarah MARA (Keusahawanan) dan Dr. Shahrizin bin Abdul Sarhadat, Pengarah MARA Negeri Sabah.

Dalam sesi yang lain, YBhg. Dato’ Zulfikri bin Osman, Timbalan Ketua Pengarah MARA (Keusahawanan), telah mengadakan sesi Walkabout bersama usahawan terlibat. Turut hadir sama ialah Encik Yahya bin Sani, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan serta pegawai MARA Negeri Sabah.

This entry was posted in Lain-Lain, Usahawan. Bookmark the permalink.