UKKM Nilai Tambah Kemasukan Ke MRSM

Antara calon yang sempat menduduki UKKM sebelum PKPB.

Oleh: Waheeda Mohd Noor
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 10 Nov – Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sangat sinonim di mata masyarakat terutama bagi ibu bapa untuk menentukan kesinambungan pendidikan buat anak-anak selepas pendidikan rendah.

Bagi permohonan kemasukan MRSM sesi 2021 masih lagi dibuka hingga Disember 2020. Pengambilan ke MRSM kini ada kelainan terutama dalam pengiraan merit, di mana MARA telah memperkenalkan Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) dan Ujian Khas Ulul Albab bagi menguji kecenderungan dan potensi calon yang memohon. Sehubungan dengan itu, ujian ini diwujudkan bagi mengira merit pelajar kerana peperiksaan kebangsaan yang sepatutnya diambil oleh calon seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang telah dibatalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berikutan pandemik Covid-19 melanda negara.Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) dan Ujian Khas Ulul Albab ini telah bermula pada 21 September 2020 secara berperingkat sehingga Disember 2020. Pemohon akan diuji dalam empat subjek iaitu Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Keperibadian. Manakala bagi calon yang memohon MRSM Program Ulul Albab, calon juga perlu mengambil Ujian Khas ayat-ayat suci Al-Quran sebagai tambahan mata merit pemohon MRSM Program Ulul Albab. Calon yang hadir UKKM diminta untuk memastikan segala dokumen/ keperluan seperti Kad Pengenalan (MyKad/ MyKid), Surat Panggilan UKKM, Borang Deklarasi Kesihatan Covid-19 dan Kalkulator Saintifik (Tingkatan 4) serta set alat tulis (situasi di luar jangka) dibawa semasa hadir menduduki ujian.

Berikutan daripada itu, saban hari, MARA menerima banyak keluhan daripada ibu bapa yang risau kerana masih belum menerima panggilan bagi menduduki ujian terutama apabila beberapa kawasan dan negeri kini terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Ibu bapa atau penjaga tidak perlu bimbang kerana MARA sedaya upaya menyediakan medium dan platform terbaik dalam memastikan calon yang layak dapat menduduki ujian tersebut. Sekiranya calon dari negeri atau daerah yang diklasifikasikan sebagai zon merah, PKPB dan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) dalam tempoh ujian dilaksanakan, pihak MARA akan memaklumkan kepada calon yang terlibat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel berkenaan penangguhan ujian kepada calon.

Sehingga kini, MARA telah menerima sebanyak 77,574 permohonan untuk kemasukan ke tingkatan 1 dan 24,225 permohonan ke tingkatan 4 MRSM bagi sesi 2021.

Dalam situasi sekarang, para ibu bapa diminta untuk tidak cemas dan bimbang sekiranya calon masih belum menerima panggilan untuk menduduki UKKM, ini kerana UKKM dan Ujian Khas dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember 2020. Ibu bapa juga disarankan sentiasa menyemak makluman terkini daripada MARA menerusi media sosial rasmi MARA iaitu Facebook, Instagram, Twitter Majlis Amanah Rakyat atau portal rasmi MARA di https://www.mara.gov.my untuk sebarang perubahan dan juga makluman lanjut. Sebarang pertanyaan juga boleh dibuat melalui emel pengambilanmrsm@mara.gov.my.

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.