Norma Baharu Dalam Pendidikan, Cabaran Buat Pendidik MARA

oleh: Ierwan Ismail
media@mara.gov.my

Krisis global akibat penularan Covid-19 bukan sahaja memberikan kesan yang buruk terhadap keadaan ekonomi negara malah turut menyebabkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di semua institusi pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti terganggu dan tertangguh.

Bagi mengelakkan pelajar-pelajar ketinggalan dalam pelajaran, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan arahan agar sesi PdP hendaklah dilaksanakan secara dalam talian.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut mengambil langkah yang sama dengan mengumumkan semua aktiviti PdP hendaklah dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember 2020 serta melarang sama sekali aktiviti PdP secara bersemuka kecuali kepada kes-kes tertentu.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut terkesan dan menerima tempias akibat krisis penularan Covid-19 ini apabila semua Institusi Pendidikan MARA (IPMA) terpaksa ditutup dan para pendidik MARA dikehendaki menjalankan aktiviti PdP secara dalam talian.

Walaupun sudah ada IPMA yang dibuka selepas gelombang kedua Covid-19 mulai reda, namun masih wujud kebimbangan di kalangan para ibu bapa dan pendidik akan kemungkinan berlakunya penularan Covid-19 semasa aktiviti PdP secara bersemuka dijalankan.

Hari ini, gelombang ketiga pandemik Covid-19 telah menyerang kembali. Kesemua IPMA kembali ditutup dan para pelajar telah “dicutikan”. Pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) kembali dipraktikkan secara menyeluruh untuk semua pelajar IPMA.

Mahu atau tidak, para pendidik MARA perlu menyusun strategi untuk terus menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang memerlukan proses PdPc dilaksanakan secara dalam talian. Inilah cabaran baharu buat para pendidik MARA untuk terus istiqamah mendidik anak bangsa agar berjaya pada masa hadapan.

Pensyarah Undang-Undang Kolej Profesional MARA Seri Iskandar, Perak, Syed Sallehuddin Idid Syed Salim Idid, 39, berpendapat dengan pelaksanaan PdPc secara dalam talian, pensyarah dapat memantau tugasan atau latihan pelajar melalui platform seperti Google Classroom dan Microsoft Team. Secara tidak langsung, pensyarah boleh mendapatkan komen terus dari pelajar.

“Pensyarah dapat berkongsi dengan para pelajar bahan pembelajaran dan pengajaran pada bila-bila masa melalui platform kelas maya yang telah ditetapkan bersama pelajar seperti Padlet dan lain-lain”, katanya.

Beliau turut menyatakan melalui PdPc secara dalam talian, pensyarah dapat menyusun masa dengan lebih efisyen untuk melengkapkan kuliah seandainya terpaksa menghadiri sesuatu kursus.

Namun begitu menurut beliau, kebarangkalian ketidakterlibatan segelintir pelajar dalam menghadiri sesi kelas maya akan menyukarkan pensyarah bagi mengukur tahap kefahaman pelajar.

“Ada pelajar yang hanya membuka audio ketika synchoronous learning tetapi tidak menumpukan perhatian terhadap kelas sebaliknya melakukan perkara yang tidak sepatutnya berlaku semasa kelas”, tegasnya.

Mohamad Anuar Mohamad Kamal, 39, berpendapat pembelajaran secara dalam talian ini akan menjadikan guru lebih kreatif dengan memanfaatkan penggunaan teknologi yang ada bagi memastikan proses PdPc bersama pelajar berlangsung lebih sistematik.

“Guru perlu lebih kreatif dan pantas, penggunaan aksesori yang sesuai sebagai tripod, mikrofon dan skrin hijau dapat memberikan impak yang lebih menarik dalam pembelajaran” katanya.

“PdPc secara online merupakan satu cabaran besar kepada guru khususnya dalam menarik daya tumpu pelajar terhadap pelaksanaan kelas”, tegasnya lagi.

Pada masa yang sama, Mohamad Anuar turut berharap agar para guru yang berkhidmat di kawasan luar bandar terutama di kawasan pedalaman diberikan bantuan serta sokongan sewajarnya berkaitan masalah capaian internet yang lemah.

“Ada di kalangan guru yang kurang berkemahiran dalam penggunaan teknologi maklumat, setidaknya capaian internet yang baik dan berkualiti dapat membolehkan mereka memperbaiki kualiti pengajaran khususnya dalam menyampaikan bahan pengajaran dalam talian”, katanya lagi.

Beliau merupakan guru Pendidikan Islam di MRSM Tun Dr. Ismail, Pontian Johor menegaskan kaedah pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) sangat sesuai dengan jiwa generasi muda dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih interaktif selain merangsang minat pelajar.

Menurut Nur Jannatul Ma’awa Shahri, 33, guru MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang berpendapat PdPc secara maya dapat memudahkan guru menyampaikan pelbagai maklumat pembelajaran sebagai rujukan atau pun latihan tambahan.

“Pelajar akan lebih peka dengan situasi semasa dan akan mempertingkatkan usaha kerana jika mereka tidak peka, mereka pasti akan ketinggalan”, katanya.

Sebagai seorang guru Bahasa Inggeris, Ma’awa turut menyatakan kebimbangan beliau berkenaan kesukaran untuk menjelaskan sesuatu perkara berkaitan pengajaran agar lebih mudah difahami. Secara tidak langsung, ianya mungkin akan memberikan sedikit kesan terhadap prestasi pelajar. 

“Sebagai contoh, dalam subjek Bahasa Inggeris, jika pelajar dapat face to face (bersemuka) dengan guru, guru boleh garis guna pen merah, buat arrow tunjuk kesalahan dan pembetulan yang boleh dibuat. Kesimpulannya, saya ingin menyatakan bahawa pembelajaran dalam talian tidak sama dengan penilaian dalam talian”, tegas beliau.

Cabaran dan rintangan akan datang bila-bila masa. Siapa sangka pandemik Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia telah merubah pelbagai perkara dan situasi semasa. Pandemik ini secara tidak langsung telah menjadi agen transformasi dan pemangkin pembaharuan terhadap pembelajaran secara maya.

Namun begitu, secanggih mana teknologi dan sehebat mana pun alam maya, hakikatnya kita tidak dapat menafikan bahawa hubungan yang baik antara pendidik dan ibu bapa mampu membentuk perwatakan serta kejayaan seseorang pelajar.

Buat semua pendidik MARA seluruh negara, meskipun tiada lagu dan riang ria sahutan meraikan Hari Pendidik di IPMA tahun ini, penghargaan terhadap pengorbanan seorang pendidik dalam mengajar, membimbing serta membentuk anak bangsa tidak bisa dilupakan.

Kepada rakyat Malaysia yang berminat untuk berkhidmat sebagai pendidik, MARA memerlukan warga kerja yang berilmu, berkeyakinan, berintegriti, memiliki kemahiran interpersonal, kreatif, inovatif dan komited serta mempunyai kecemerlangan peribadi sebagai seorang pendidik.

Individu-individu yang memiliki ciri-ciri tersebut adalah dipelawa untuk menyertai perkhidmatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Institusi-institusi Pendidikan MARA seluruh Malaysia.

Permohonan hendaklah dibuat secara atas talian (online) di Portal Rasmi MARA iaitu www.mara.gov.my atau di link yang sah sahaja (Facebook, Instagram, Twitter). Tarikh tutup permohonan adalah pada 13 November 2020.

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.