Pelajar KKTM Masjid Tanah Penuntut Terbaik Sukarela Siri 1/2020

Melaka, 4 Ogos – Perajurit Muda (PM) Muhammad Hazeem bin Salim, dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah telah dinobatkan sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik dalam kursus Asas Perajurit Muda (SUKARELA) Siri 1/2020 anjuran Rejimen 514 Askar Wataniah, Kem Bukit Beruang, Melaka. Penyampaian telah disempurnakan oleh Brigedier Jeneral Datuk Yusof bin Hj Jantan, Komander Rejimen 514 Askar Wataniah.

Wakil tunggal KKTM Masjid Tanah itu merupakan pelajar semester 4, Diploma Teknologi Kejuruteraan Pemprosesan Polimer Komposit. Muhammad Hazeem telah menyertai program tersebut bersama 50 orang peserta lain daripada beberapa IPT dan orang awam sekitar negeri Melaka.

Kursus Asas Perajurit Muda (SUKARELA) Siri 1/2020 berlangsung selama sebulan, bermula 6 Julai hingga 4 Ogos 2020. Peserta didedahkan dengan ilmu asas ketenteraan seperti adat resam ketenteraan, pemerintahan regimental, latihan jasmani, latihan kawad kaki dan kawad senjata (Colt M16 dan M4), membaca peta, ilmu medan perang, taktik, kemahiran menembak dan beberapa kemahiran lain bagi membentuk individu menjadi seorang anggota tentera yang terlatih.

Kejayaan ini amat membanggakan KKTM Masjid Tanah kerana Muhammad Hazeem adalah satu- satunya wakil institusi tersebut. Penyertaan anggota AW dalam kursus ini dihadkan kepada 50 orang sahaja bagi mematuhi keperluan SOP sedia ada.

Adalah diharapkan kejayaan ini akan menaikkan semangat kira-kira 30 orang lagi anggota Askar Wataniah KKTM Masjid Tanah yang akan menyertai kursus Asas Perajurit Muda (Sukarela) Siri 2/2020 yang dijangka berlangsung pada 1 sehingga 30 September 2020 ini.

Sumber Berita : BKT Diedit oleh : BITK

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.