Pelajar dan Guru MRSM ungguli pertandingan Pengaturcaraan Komputer 2020 (PPKomp) peringkat Kebangsaan.

KUALA LUMPUR: Pelajar dan guru Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berjaya mengungguli pertandingan Pengaturcaraan Komputer 2020 peringkat Kebangsaan yang berlangsung secara atas talian (online) baru-baru ini.

Pada pertandingan yang berlangsung 24 Oktober 2020, MRSM Sultan Azlan Shah berjaya memenangi Anugerah kumpulan terbaik bagi kategori Muda, manakala MRSM Pengkalan Hulu dan MRSM Sungai Besar masing-masing memenangi kumpulan kedua dan ketiga terbaik.Pelajar MRSM Pengkalan Hulu, Muhammad Luqman Al-Hakim bin Muhammad Nuzrin, Muhammad Hariz bin Mohamad Tarmidzi dan Irfan Izzuddin bin Azmi serta pelajar MRSM Mersing, Syamsulbakhri bin Ismail Hisamudin masing-masing memenangi anugerah emas bagi kategori Muda.

Pelajar MRSM Johor Bahru, Muhammad Izzat Iqbal bin Radzi dan pelajar MRSM Baling Hazim Ikhwan bin Sahfarin dan Hanna Melyssa binti Mohd Yusri pula memenangi anugerah emas bagi kategori Bongsu.

Manakala bagi kategori guru, Megat Mortaza bin Megat Abd Razak dan Mohamad Eliyass bin Jamaruppin dari MRSM Pengkalan Hulu berjaya merangkul anugerah emas setelah menewaskan perserta dari SMK (P) Raja Zarina (1) yang beroleh anugerah perak dan MRSM Kuala berang (gangsa).

“Minat yang mendalam terhadap subjek pengaturcaraan yang biasanya disalah anggap sebagai subjek sukar oleh kebanyakan pelajar mendorong saya untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam pengaturcaraan,”

“Saya bangga kerana idea program yang kami hasilkan adalah daripada masalah yang diberi oleh juri untuk diselesaikan sehingga program kami diumumkan antara yang terbaik dan seterusnya memenangi pertandingan ini,” kata Hazim Ikhwan.

PPKomp adalah pertandingan tahunan pengaturcaraan komputer yang dianjurkan oleh Fatihah Education Consultants dengan penyertaan terbuka untuk semua pelajar sekolah rendah, dan tinggi di Malaysia.

Berformatkan enam soalan yang perlu diselesaikan dengan menggunakan pengaturcaraan komputer, pelajar perlu menjawab semua soalan dalam tempoh masa selama dua jam.

Pertandingan yang dijalankan adalah secara individu, menggunakan bahasa pengaturcaraan. Peserta boleh memilih sama ada ingin menggunakan bahasa python, Java, JavaScript, PHP, C, C++, C#, VB.Net, atau Ruby.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Bongsu (15 tahun ke bawah), Muda (16 ke 17 tahun), Sulung (18 tahun ke atas) dan Guru (terbuka kepada semua pendidik di Malaysia.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Lain-Lain. Bookmark the permalink.