
Ku Harudin Ku Talib Ali, guru MRSM (Bimbingan & Kaunseling) di MRSM Tun Mustapha Tawau, Sabah
Pada zaman serba moden sekarang memang mudah untuk kita mendapatkan maklumat dalam apa saja perkara kerana ramai yang sudi berkongsi pengalaman mereka di media sosial.
Tidak terkecuali untuk mereka yang tertanya-tanya bagaimana agaknya apabila menghadiri sesi temu duga untuk menjadi guru MRSM, Ku Harudin Ku Talib Ali turut berkongsi pengalaman yang boleh kita rujuk.
Status yang mendapat perkongsian sebanyak 1000 pengguna Facebook ini menfokuskan pengalaman Ku Harudin sendiri semasa menghadiri sesi temuduga guru MRSM (Bimbingan & Kaunseling).
Sebelum temu duga
Menurut Ku Harudin, beliau mendapat tahu kekosongan jawatan ini melalui iklan jawatan kosong MARA di Facebook dan Whatsapp. Kemudian beliau melayari laman web MARA dan mengisi segala butiran yang diperlukan melalui pautan permohonan jawatan guru MRSM.
Lebih kurang 1 hingga 2 bulan, beliau menerima sms untuk menduduki peperiksaan atas talian dan selepas 2 minggu hingga 1 bulan, keputusan peperiksaan atas talian akan dimaklumkan melalui sms dan terus dipanggil untuk sesi temu duga. Selain sms, makluman terperinci seperti keperluan pemakaian sukan dan lokasi temu duga di ILKM yang kini dikenali MARA Excellence Centre, Jawi juga diberi melalui email.
Semasa temu duga
Ku Harudin berkata, ada 4 peringkat temuduga yang dijalankan dalam masa 1 hari iaitu Psychometric Test, Fitness Test, Mock Teaching/Mock Counseling dan Group Interview.
Psychometric Test, calon diberi pautan ujian dan perlu menjawab dalam masa 40 minit sebelum datang ke sesi temu duga.
“Walaupun agak mencabar tetapi jika calon berjiwa pendidik ia sangat mudah dijawab,” kata Ku Harudin.
Fitnest Test juga sangat mencabar dan memerlukan kekuatan fizikal walaupun ia hanyalah Beep Test. Ku Harudin berkata, latihan Beep Test ini perlu dibuat sebelum temu duga dan amat memenatkan bagi mereka yang tidak biasa. Beliau hanya melepasi sehingga peringkat ke-4 sahaja.
Mock Teaching/Mock Counseling memerlukan pasangan, calon perlu mencari calon-calon lain untuk dijadikan pasangan untuk sesi bimbingan dan sesi kaunseling.
Group Interview dijalankan secara berkumpulan seramai 6 orang. Calon perlu perkenalkan diri dan memberitahu kepada panel tujuan ingin menjadi guru MRSM. Terdapat soalan tentang latar belakang MARA manakala bahasa yang Ku Harudin gunakan berdasarkan soalan panel yang bertanya, jika bahasa Melayu, beliau menjawab dalam bahasa Melayu manakala jika panel bertanya dalam bahasa Inggeris, beliau akan menjawab dalam bahasa Inggeris juga.
Sebelum habis sesi Group Interview, panel akan memberi ruang untuk calon bertanyakan soalan. Ku Harudin bertanya tentang peruntukan untuk program UBK di MRSM dan panel menjawab dan bertanya semula kepada Ku Harudin tentang kesanggupan beliau jika ditempatkan di Sabah dan Sarawak. Beliau sanggup ditempatkan di sana kerana beliau berjiwa seorang pendidik yang ingin membantu pelajar susah.
Selepas temu duga
Lebih kurang 3 bulan selepas sesi temu duga, Ku Harudin mendapat keputusan melalui sms yang memaklumkan beliau berjaya diplih menjadi guru MRSM (Bimbingan & Kaunseling) di MRSM Tun Mustapha Tawau, Sabah. Beliau rasa bersyukur dan terima dengan hati terbuka.
“Banyak perkara kita perlu korbankan dan jangan berkira. Ingin menjadi guru juga perlu mempunyai jiwa seorang guru,” pesan Ku Harudin kepada yang ingin menjadi guru.
Ingin menjadi pendidik di Institusi-institusi Pendidikan MARA seluruh Malaysia >> http://apps.mara.gov.my/vacancy. Tarikh tutup permohonan adalah pada 13 November 2020.
Sumber : https://www.facebook.com/kuharudin/posts/4901234493249897