Fakta Menarik Penubuhan Awal MRSM

MRSM Seremban yang pertama di Malaysia

Operasi awal pengurusan di MRSM telah mengguna pakai kaedah atau modul pembelajaran yang disesuaikan dari New York Bronx High School of Science yang turut dilaksanakan juga oleh Science School of Manila pada 1963. Kos yang menelan belanja sebanyak RM945,000 ini menawarkan pengajian aliran sains dan matematik kepada pelajar pintar dari seluruh negara melalui pendekatan pembelajaran secara Learning by Discovery.

Dua orang tenaga pengajar dari New York Bronx University telah berkerjasama dalam merangka dan menyediakan asas penubuhan MRSM dalam kertas cadangan yang diberi nama Batik Paper. Perkataan ‘Batik” diambil sempena muka hadapan kertas cadangannya yang berilhamkan corak batik.

Kumpulan pertama tenaga pengajar di MRSM hanya terdiri daripada 10 orang sahaja. Tiga orang guru Sains, dua orang guru Bahasa Inggeris, dua orang guru Ilmu Hisab (Matematik), seorang guru Bahasa Melayu dan seorang guru Ilmu Alam (Geografi). Mereka telah menjadi pengajar perintis MRSM Seremban dan kumpulan guru pertama memiliki ijazah. Mereka ini turut dibantu oleh dua kakitangan sokongan.

Encik Jamaluddin Hamid, pengetua pertama MRSM Seremban dihantar ke Science High School of Manila di Filipina bagi melihat sendiri bagaimana program pembelajaran berkonsepkan home-room dilaksanakan. Konsep ini bertujuan mendidik pelajar berfikir secara kritis serta cekap mengkaji setiap subjek yang dipelajari.

Bangunan asal MRSM adalah Pusat Latihan INTAN, Negeri Sembilan yang telah diubah suai kepada sekolah dengan tiga buah makmal, lima buah bilik darjah, sebuah garaj pejabat dan sebuah dewan makan.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.