Cari Rezeki Sebagai Juru Urut Wanita

Mendapat inspirasi daripada neneknya dalam perkhidmatan urutan di kampung menjadi pemangkin semangat wanita ini untuk mencari rezeki dan terus berjaya dalam bidang diceburinya.

Suziah Sahipin yang kini bergelar usahawan Aora Spa & Wellness dan pengasas Ren Tree Holistic berkata dia amat meminati bidang itu terutama membabitkan aspek urutan hasil pendedahan awal dan didikan neneknya.

“Nenek seorang tukang urut dan sejak kecil dunia urutan sinonim dengan saya.
Nenek saya selalu bagi tugasan kepada saya untuk membawa bakul yang mempunyai minyak urut yang dibuat sendiri.

“Pada masa itu tidak terfikir untuk memasang cita-cita untuk bergelar tukang urut hanya untuk bantu dia sahaja dan bukan untuk dijadikan sebagai karier,” ujarnya sambil tersenyum mengimbas kenangan lama.

Wanita yang berasal dari Keningau, Sabah ini bagaimanapun berkata, sehinggalah dia melanjutkan pengajian tinggi, ramai pensyarah mendapatkan perkhidmatan urutannya.

“Semasa saya sambung belajar di peringkat yang lebih tinggi, saya memberi khidmat urutan kepada pensyarah wanita di sana dan mereka suka dan amat berpuas hati.

“Habis belajar, saya kembali ke Sabah dan masih meneruskan tradisi urutan nenek saya. Dari situlah saya semakin seronok dan berminat dengan bidang ini.

“Seronok itu bukan pasal mereka bayar pada saya tapi mereka memberitahu saya yang badan mereka ringan dan rasa sakit sudah hilang. Itulah kepuasan sebenar bagi seorang tukang urut,” katanya.

Suziah mengakui keakrabannya dengan nenek tersayang banyak memberinya ilmu urutan yang betul dan dijadikan panduannya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya kini.

“Saya masih ingat pesan nenek, apa jua karier saya selepas ini, saya mesti teruskan urutan ini sebab urutan ini suatu hari nanti orang tidak jumpa lagi,” katanya.

Menurut Suziah, menceburi bidang ini bukanlah mudah terutamanya apabila membuka premis perniagaan sendiri tanpa dengan ilmu.

“Masa saya mula membuka perniagaan ini, semua urusan di premis diuruskan saya termasuklah tukang urut saya, tukang sapu, bancuh air dan lain-lain semuanya saya sendiri.

“Dari sini saya mula belajar, perniagaan ini bukanlah kita buat ikut rasa hati tapi perlu ada ilmu untuk kita lebih terarah,”katanya.

Wanita ini juga menegaskan, jika mempunyai sebarang kemahiran, jangan malu untuk diketengahkan. Berdasarkan keyakinan & semangat yang tinggi dari Suziah, akhirnya perkhidmatan urutan beliau turut mendapat sambutan di beberapa buah negara jiran seperti Brunei Darussalam, Singapura, Jepun. Kepakaran Suziah dalam Urutan Perawatan Penjagaan Bersalin membuatkan namanya di kenali diluar negeri.

“Ini adalah di antara kepuasan peribadi saya.” Tambah Suziah.

Pengalaman wanita ini bersama MARA pada awalnya tidak menyangka dia terpilih di bawah program keusahawanan MARA, Aora SPA & Welness dan program ini banyak membantu dia dalam mengembangkan perniagaan ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Syukur dengan bantuan MARA, Aora dikenali sebagai satu jenama yang besar dan kini Ren Tree Holistic sudah berkembang dan sudah dikenali di seluruh Sabah.

“Kursus dan kemudahan pembiayaan MARA dalam program ini juga banyak membantu saya dalam belok keusahawanan yang dapat memantapkan perniagaan saya.

“Puas dan gembira. Inilah rezeki saya berpeluang bertemu MARA. Terima kasih MARA,” ujarnya mengakhiri bicara.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.