Penambahan Bas MARA LINER beri manfaat buat penduduk luar bandar

Bas baharu MARA Liner yang moden dan selesa serta dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan

Kota Tinggi, 7 Oktober 2020 – Penambahan bas baharu MARA Liner bertujuan memberi manfaat terhadap pengangkutan awam khusus bagi penduduk di kawasan luar bandar, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr. Abd Latiff Ahmad.

Menurutnya, secara purata dianggarkan seramai 2.7 juta penumpang telah menggunakan perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti yang disediakan oleh MARA Liner setiap tahun.

“Saya amat berharap dengan penambahan bas baharu ini bukan sahaja dapat menampung keperluan pengguna tetapi akan memberi keselesaan kepada mereka”, kata beliau.

Abd Latiff berkata demikian ketika hadir dalam majlis penyerahan bas baharu MARA Liner yang berlangsung di Bengkel MARA Liner, Bandar Penawar, Kota Tinggi Johor.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dato’ Azhar Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA, Dato’ Che Zakaria, Pengerusi KEJORA serta Encik Mazlan Othman, Pengerusi MARA Liner Sdn. Bhd.

Bagi merealisasikan impian ini, MARA Liner berkolaborasi bersama pemain industri enjin terkenal seperti Scania, MAN dan HINO yang menawarkan teknologi serba canggih bagi memberikan kualiti perkhidmatan bas yang terbaik.

Manakala, SKS Coachbuilder Sdn. Bhd., RTG Intech Corporation Sdn. Bhd. dan Badan Bas Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang bertanggungjawab dalam membina reka bentuk bas yang moden dan penuh ciri-ciri keselamatan untuk keselesaan pengguna.

Ketika ditanya tentang perkhidmatan bas MARA liner di Sabah dan Sarawak, Abd Latiff turut tidak menolak kemungkinan perkhidmatan pengangkutan bas MARA Liner diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, tetapi itu semua bergantung kepada kehendak dan persetujuan daripada kerajaan negeri.

“Ya, kita bersedia. Namun bergantung kepada kerajaan negeri kerana perkara ini, perlu ada kerjasama dengan kerajaan negeri”.

“Tetapi, setakat ini, Sabah dan Sarawak ada perkhidmatan sendiri dan secara prinsipnya, kita juga tidak boleh bersaing dengan pengusaha lain dalam sektor ini (pengangkutan awam) kerana kita syarikat besar”, jelasnya.

Tegas beliau, sekiranya perancangan ini berjaya ia mampu memberi manfaat yang besar kepada golongan berpendapatan rendah (B40) di negeri terbabit.

 

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.