Oleh: Fazira Jafre
Kuala Lumpur, 1 Oktober 2020 – Sempena Sambutan Bulan Kaunseling MARA 2020, bertemakan “MARA Prihatin, Kami Sedia Membantu”, Persatuan Kaunseling MARA (PEKAMARA) mengambil inisiatif menawarkan khidmat kaunseling kepada warga MARA bermula 10 Oktober 2020.
Usaha mempromosikan perkhidmatan kaunseling ini juga bertepatan dengan suasana negara berdepan dengan pandemik COVID-19 yang telah meninggalkan impak psikologi kepada masyarakat.
Menurut Presiden PEKAMARA, Johari Md Salim berkata pada waktu ini, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling berperanan dalam memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan bantuan terutama mereka yang terjejas dari aspek ekonomi dan masalah lain.
“Perkhidmatan kaunseling ini diadakan bagi meringankan tekanan kerja warga MARA yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan juga fizikal.
Perkara ini juga membantu meringankan tekanan kerja dan secara tidak langsung dapat meningkatkan prestasi kerja” katanya.
Tambahnya lagi, sesiapa sahaja boleh mendapatkan khidmat kaunseling dan tidak perlu takut untuk berjumpa dengan kaunselor.
“Kita perlu buang stigma ‘takut jumpa kaunselor’ atau hanya ‘orang yang bermasalah’ atau ‘sakit mental’ saja yang perlu jumpa kaunselor, sesiapa sahaja boleh berjumpa,” katanya.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling ini, warga MARA boleh layari http://pekamara.mara.gov.my atau berjumpa terus dengan kaunselor di IPMA masing-masing.