Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) Bermula 21 September 2020

Seramai 3,355 orang calon menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM pada hari pertama dijalankan di 64 buah pusat ujian seluruh negara.

Oleh Ierwan Ismail
media@mara.gov.my

KUALA LUMPUR, 21 September – Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) dan Ujian Khas Hafazan Program Ulul Albab Tingkatan Satu dan Empat tahun 2021 telah pun bermula 21 September 2020 dengan panggilan hari pertama untuk menduduki ujian tersebut melibatkan seramai 3,355 orang calon.

Kesemua calon yang terlibat menduduki ujian di 64 buah pusat-pusat ujian terpilih dan di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) seluruh negara dan ujian ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga bulan Disember 2020. Jemputan untuk menduduki ujian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui emel dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Calon-calon UKKM berbaris kemas serta mematuhi SOP yang telah digariskan ketika sesi pendaftaran ujian UKKM.

Calon yang belum menerima tawaran untuk menduduki UKKM dinasihatkan untuk tidak panik dan sentiasa mengambil langkah membuat semakan dari masa ke semasa melalui pautan yang disediakan oleh MARA.

Calon yang hadir UKKM diminta untuk memastikan segala dokumen/keperluan seperti seperti Kad Pengenalan (MyKad/MyKid), Surat Tawaran UKKM, Borang Deklarasi Kesihatan Covid-19 serta Kalkulator Santifik (Tingkatan 4) dan set alatan tulis (situasi di luar jangka) dibawa semasa hadir menduduki ujian.

Calon-calon kelihatan yakin dan tenang sebelum dn semasa menduduki UKKM.

Calon juga wajib berpakaian sekolah serta sentiasa mematuhi SOP keselamatan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di pusat-pusat ujian.

Bagi daerah/negeri yang sedang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), UKKM hanya akan dilaksanakan selepas perintah tersebut ditarik semula dan tarikh bagi menduduki ujian akan dimaklumkan kelak.

Untuk mendapatkan maklumat serta informasi sahih dan terkini, calon-calon diminta untuk melayari portal rasmi MARA melalui pautan www.mara.gov.my atau mengikuti laman media sosial rasmi MARA melalui Facebook, Instagram dan Twitter.

Suasana yang selesa dan kondusif di dalam bilik/dewan sedikit sebanyak membantu calon kekal fokus ketika menduduki UKKM.

Suasana ketika calon-calon menunggu giliran dipanggil bagi menduduki UKKM.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.