Pengunjung berpuas hati penganjuran Karnival IPMa Johor

Mohd Izhar Ahmad (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kit peperiksaan kepada salah seorang penerima semasa sesi walkabout beliau di Karnival IPMa Johor

JOHOR BAHRU, 20 September – Karnival Institusi Pendidikan MARA (IPMa) peringkat Negeri Johor yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Plaza Larkin di sini dilihat berjaya memenuhi kehendak pengunjung.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Izhar Ahmad, walau pun dilaksanakan dengan SOP ketat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), masih ramai hadir ke karnival ini terutamanya dalam kalangan mereka yang mencari maklumat untuk menyambung pengajian.

“Menariknya, IPMa yang terlibat di karnival ini bukan sahaja menawarkan laluan akademik malah turut meliputi laluan teknikal & vokasional (TVET) di karnival ini.

“Justeru, orang ramai perlu merebut peluang ini memandangkan IPMa merupakan platform terbaik untuk anak-anak kita menyambung pelajaran dalam bidang yang mereka minati,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir ke sesi “walkabout” karnival IPMa di samping menyampaikan bantuan kit peperiksaan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) kepada 100 orang pelajar B40 sekitar Johor Bahru.

Di majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sijil penyertaan kepada 30 orang peserta kursus Dekorasi Donut dan Kek anjuran MARA Johor.

Sementara itu, rata-rata pengunjung amat berpuas hati dan berjaya mendapatkan maklumat yang dikehendaki di karnival ini.

Seorang pengunjung, Ahmad Sofean (52) daripada Plentong menyatakan penganjuran karnival ini amat baik dan perlu diteruskan lagi pada masa datang.

“Diharapkan program ini diteruskan lagi pada masa akan datang dengan hebahan yang lebih meluas kerana program ini amat bermanfaat kepada orang ramai,” ujarnya.

Nurul Ain (17) daripada SMK Tasek Utara pula menyatakan program ini amat baik kerana beliau dapat mengetahui hala tuju pengajian selepas SPM.

“Saya mendapat maklumat program ini daripada YPM dan selepas hadir ke sini, saya lebih jelas berkenaan hala tuju pendidikan saya pada masa hadapan,” ulas beliau.

Turut hadir ke program ini adalah Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Uyon Shoib serta Pengurus Seksyen Anak Angkat YPM, Tuan Haji Mat Zailani Mat Nawawi.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.