
YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Bin Mohamad, Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Rural Capital Berhad kepada wakil PKAYIA
Kuala Lipis, 19 September 2020 – Majlis Amanah Rakyat dengan usahasama Rural Capital Berhad (RCB) telah melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam Program MARA Prihatin di Pusat Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Kuala Lipis, Pahang.
Program yang bertujuan untuk meningkatkan ukhwah dan sikap prihatin warga kerja MARA terhadap golongan yang kurang berkemampuan dan meningkatkan semangat patriotik dan kecintaan kepada agama, bangsa dan negara ini turut dihadiri oleh YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Bin Mohamad, Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Program MARA Prihatin ini secara tidak langsung dapat meningkatkan semangat dan motivasi pihak pengurusan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Al-Ihsan (PKAYIA) untuk meneruskan usaha murni membela dan memperjuangkan nasib golongan yang kurang berkemampuan dengan sumber kewangan yang terhad.
Program ini menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan oleh RCB kepada PKAYIA yang bernilai RM11,000.00 serta cek bayaran zakat perniagaan RCB, negeri Pahang bagi tahun 2019 berjumlah RM95,879.00 kepada Pusat Kutipan Zakat, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Pada masa yang sama, YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Bin Mohamad turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada anak-anak yatim daripada pertubuhan tersebut.
Selain daripada sumbangan cek, PKAYIA turut menerima sumbangan sebuah van untuk kegunaan seharian daripada pihak Makmor Gold yang turut disampaikan oleh YB Timbalan Menteri I. Warga kerja MARA serta agensi terlibat turut bersama-sama di dalam aktiviti gotong royong dalam membersih, mengemas dan mengecat kawasan pusat tersebut dan kemudian memasak bersama-sama bagi meningkatkan ukhwah bersama warga PKAYIA.