Karnival IPMA di Johor bermula esok

JOHOR BAHRU, 18 September – Karnival Institusi Pendidikan MARA (IPMa) peringkat Negeri Johor akan bermula esok sehingga 20 September bermula jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang bertempat di Plaza Larkin di sini.

Menurut Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Uyon Shoib, karnival ini bertujuan menyalurkan informasi terkini kepada orang ramai berkenaan laluan pendidikan yang ditawarkan IPMa meliputi penawaran program serta kemudahan pinjaman pelajaran yang disediakan.

“Di karnival ini kita mengumpulkan kesemua IPMa seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), German-Malaysian Institute (GMI), Kolej Profesional MARA (KPM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM), GIATMARA serta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di bawah satu bumbung,” katanya .

Menurutnya lagi, kesemua IPMa yang dikumpul di karnival ini membolehkan orang ramai untuk bersemuka secara terus bagi mendapatkan penerangan terutamanya berkenaan peluang pengajian yang ditawarkan bermula daripada peringkat sijil sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

“Pelbagai pengisian menarik telah disusun sempena karnival ini seperti pendaftaran permohonan online serta tawaran kemasukan secara terus (bersyarat) ke IPMa, kaunseling kerjaya secara percuma serta penerangan berkenaan program Pendidikan Teknikal dan Vokasional MARA,” katanya lagi.

Beliau menambah, orang ramai dijemput mengambil peluang yang disediakan ini dan bagi mereka yang berhasrat memohon kemasukan ke IPMa, sila hadir bersama dokumen kad pengenalan, sijil kelahiran pemohon dan ibu bapa, slip keputusan SPM serta penyata pendapatan ibu bapa.

“Menariknya, kami turut menyediakan booth maklumat mengenai skim Pembiayaan Perniagaan dan Program Keusahawanan MARA di karnival ini. Justeru orang ramai dijemput hadir dan boleh mengesahkan kehadiran awal melalu bit.ly/KIPMA2020,” ujarnya lagi.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.