
Para peserta bersama konsultan Abang Mekanik Wang dalam seminar
Oleh: Akmal Azlan
Seremban, 12 September 2020 – Pejabat MARA Negeri Sembilan berterusan menyediakan program kepada usahawan Bumiputera sebagai salah satu nilai tambah dalam usaha memajukan perniagaan mereka.
Menurut Pengarah MARA Negeri Sembilan, Puan Mimi Mazlin, seminar ini bertujuan memberi inspirasi kepada peminjam MARA untuk mengukuhkan perniagaan mereka melalui kemudahan pembiayaan perniagaan yang disediakan.
“Program yang kita adakan ini adalah memberi fokus kepada usahawan Bumiputera yang menerima Skim Kemudahan Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan MARA (SPAK).
Misi kita adalah melahirkan para usahawan Bumiputera yang mampu mengukuhkan perniagaan mereka dan mengambil tanggungjawab penuh untuk mengurus kewangan mereka dengan baik agar membayar semula pinjaman pembiayaan yang telah diberikan.
Bagi mencapai sasaran tersebut, kami melihat para usahawan MARA perlu dibekalkan dengan elemen kesedaran dan rasa tanggungjawab sebagai peminjam serta menjadikan mereka usahawan yang berintegriti.
Selain itu, seminar ini juga mendedahkan usahawan ke arah perniagaan yang lebih berdaya maju dan global serta memberikan latihan dari aspek pengurusan kewangan agar perniagaan lebih sistematik dan teratur.” kata Mimi Mazlin.
Program ini telah berlangung di Klana Resort, Seremban dengan melibatkan 190 orang peserta atau usahawan MARA yang menerima skim pembiayaan SPAK pada 26 Ogos 2020.