Jana Niaga: MARA meneruskan siri jelajah ke-2 di Keningau, Sabah

Antara usahawan Keningau yang menerima kemudahan pembiayaan perniagaan dalam majlis tersebut

Keningau, 11 Sept 2020 – MARA meneruskan siri jelajah Jana Niaga ke Keningau bagi memberikan manfaat yang sama untuk dirasai oleh usahawan dan bakal usahawan di daerah ini. Mengekalkan aktiviti yang sama seperti penganjurannya di Beaufort, Jana Niaga kali ini turut memfokuskan kepada industri kraftangan yang sinonim dengan aktiviti ekonomi penduduk setempat.

Program yang berlangsung selama 2 hari bermula pada 9 hingga 10 September 2020 di Bangunan Arked, Majlis Daerah Keningau, Sabah disempurnakan oleh Pengerusi MARA YB Dato’ Hajah Azizah Binti Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun.

Usahawan-usahawan dari Daerah Keningau serta dari kawasan lain yang berhampiran akan berkumpul bagi memanfaatkan segmen-segmen di dalam program ini seperti penyertaan di booth jualan, perluasan kawasan pasaran produk melalui sesi padanan perniagaan serta penyertaan dalam slot-slot bengkel/klinik keusahawanan.

YB Pengerusi turut mengumumkan satu program khas bagi usahawan dalam industri kraftangan iaitu Program Pembangunan Usahawan Kraftangan (Kraftera). Program ini menyasarkan golongan belia untuk turut serta bagi menjana pendapatan mereka sekaligus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Kraftera merupakan satu program keusahawanan sosial bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar merangkumi latihan kemahiran, proses- proses pengeluaran, pembangunan produk termasuk pembungkusan dan penjenamaan serta teknik-teknik pemasaran dan jualan yang berkesan.

Siri jelajah ini akan diteruskan lagi penganjurannya ke daerah Tuaran pada 11hb September dengan membawakan konsep yang sama bagi menjana pendapatan usahawan sekaligus menarik minat golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.