‘Anak petani kecil terpilih ke program MPowering the State Entrepreneurship Fellowship di University of Maryland’ – Pelajar MARA

Ainul Wadhihah meraikan graduasi di University of Maryland, USA.

Oleh: Akmal Azlan

Kuala Lumpur, 8 September – Pelajar MARA, Ainul Wadhihah Abdul Rahim, 23, terpilih di dalam program Mpowering the State Enreprenuership Fellowship di University of Maryland, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Anak petani kecil kelahiran Kampung Air Merah, Mersing ini merupakan pelajar tajaan MARA dalam kursus BSc in Bioengineering yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat Professional Master of Engineering in Bioengineering setelah projek tahun akhir beliau iaitu “Sleep Good Hood” diterima untuk dibangunkan dan dikomersilkan oleh University of Maryland.

Menurut Ainul Wadhihah, hasil kajian yang beliau hasilkan telah mendapat perhatian penuh oleh pihak universiti untuk diketengahkan dalam program tersebut.

“Program yang saya sertai ini bakal berkolaborasi dengan pelbagai pihak terutamanya University of Maryland Medical Centre di Baltimore bagi menghasilkan sebuah proses pembangunan alat perubatan yang mampu meningkatkan kualiti tidur para pesakit di Unit Rawatan Intensif (ICU),” kata Ainul Wadhihah.

Beliau menyatakan impian dan hasrat untuk balik ke tanah air dan berganding bahu dengan pihak MARA dalam meningkatkan taraf teknologi di hospital-hospital kerajaan Malaysia.

“Saya sangat yakin bahawa MARA juga mempunyai misi untuk meningkatkan taraf teknologi di Hopital Malaysia selain terus menggalakkan pelajar Bumiputera untuk belajar ke luar negara.” ujar Ainul Wadhihah.

Ainul Wadhihah turut berkongsikan motivasi yang menyuntik semangat beliau untuk terus meraih kejayaan.

“Kehidupan ayah dan mak saya hanyalah sederhana di kampung. Pekerjaan mereka adalah peladang kecil di Mersing. Hasil tanam-tanaman itu lah sumber pendapatan keluarga saya untuk terus hidup.

Saya rasa sangat kasihan atas pengorbanan mereka berikan untuk menyara saya dan adik-beradik. Bermula daripada titik itu lah, saya bertekad untuk belajar sungguh-sungguh agar boleh kurangkan bebanan mereka.”

“Kini saya bekerja sambil belajar sebagai fellow di Robert E. Fischell Institute for Biomedical Devices. Syukur pada Allah. Saya harap di sini merupakan satu titik permulaan dalam dunia kerjaya saya di samping memikul tanggungjawab sebagai seorang anak untuk meringkan bebanan ibu bapa dan adik-adik saya.” tambahnya lagi.

Ainul Wadhihah juga merupakan bekas pelajar MRSM Mersing dan MRSM Taiping serta salah seorang peserta KKTM Ledang untuk mengikuti program persediaan ke USA (MADPP) yang mempunyai spesifikasi dalam Biomedical Engineering.

Kini, beliau menjadi salah satu produk dalam sektor pendidikan MARA untuk terus mengharumkan nama Malaysia diperingkat antarabangsa.

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.