Jana Niaga : Bantu Usahawan Terjejas Akibat Pandemik Covid-19

Antara usahawan yang menerima manfaat pembiayaan perniagaan MARA pada Program Jana Niaga

Oleh : Haryati Husin
media@mara.gov.my

Beaufort, 30 Ogos – Program JANA NIAGA merupakan satu platform bagi membantu usahawan meluaskan rangkaian dan mempromosikan perniagaan mereka sekaligus menjana pendapatan diyakini dapat membantu golongan sasar di negara ini terutamanya usahawan yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19. Program yang dilangsungkan selama dua hari di Dewan Pa’ Musa ini melibatkan beberapa segmen seperti pameran dan booth jualan, bengkel/ klinik keusahawanan serta sesi padanan perniagaan .

Program yang disempurnakan oleh Pengerusi MARA, YB Dato’ Hajah Azizah binti Mohd Dun ini menerima maklumbalas positif daripada pengunjung yang rata-rata berpuashati dengan penganjuran karnival seumpama ini.

Seorang pengunjung yang merupakan seorang usahawan , Pn Hanie Martin, 51, berkata beliau amat berpuashati hadir ke program ini kerana banyak informasi dan tips yang boleh digunakan bagi mengembangkan lagi perniagaannya dalam bidang binaan . Beliau turut hadir mengikuti bengkel keusahawanan yang disediakan melalui program ini.

“Program ini sebaiknya diadakan dengan lebih kerap di kawasan luar bandar kerana kesukaran usahawan untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini berkaitan keusahawanan disamping kemudahan internet yang terhad ”.

Dalam program yang sama, Pengerusi MARA, YB Dato’ Hajah Azizah binti Mohd Dun telah menyerahkan surat tawaran serta cek pembiayaan kepada 12 orang usahawan yang telah berjaya dalam permohonan pembiayaan perniagaan mereka. Keseluruhan jumlah pembiayaan yang telah diluluskan bagi daerah Beaufort adalah bernilai RM802,000.00.

Salah seorang usahawan penerima yang terlibat dalam bidang pembinaan,Roslan Murih, 47, menyifatkan bantuan pembiayaan ini merupakan satu peluang baginya untuk mengembangkan perniagaannya yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Dengan adanya modal tambahan, saya dapat menyiapkan sebarang projek dengan lancar. Justeru saya mengucapkan terima kasih kepada MARA atas kepercayaan dan kelulusan ini bagi memulihkan kembali perniagaan saya yang terjejas”.

Salah seorang lagi penerima, Minah Diso,51, yang menjalankan perniagaan Kedai Runcit Rempah Ratus Minah Bawang berkata, beliau amat bersyukur kerana diberikan pembiayaan bagi meneruskan perniagaan beliau tersebut.

Katanya, ekoran pandemik COVID-19, perniagaan beliau terjejas teruk kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa bulan lepas namun dengan adanya pembiayaan daripada MARA, beliau kini mampu meneruskan perniagaan seperti sedia kala.

“Terima kasih kepada MARA kerana telah meluluskan pembiayaan saya. Dengan adanya suntikan modal ini, saya dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran bagi memulihkan semula perniagaan saya”.

YB Pengerusi juga turut mengumumkan Skim Pembiayaan Pembelian Premis dengan had maksima RM1juta bagi syarikat enterprise dan RM2juta bagi syarikat Sdn Bhd. Usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan tetapi mempunyai saiz premis yang terhad adalah digalakkan untuk memohon melalui permohonan atas talian.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Datuk Isnin Hj Aliasnih, ADUN Klias, Dato’ Zulfikri Osman, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA dan Dr. Shahrizin Abdul Sarhadat, Pengarah MARA Sabah.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.