Rai graduan menerusi platform maya

Shafiq Shahrin (kiri) dan Khalid Hersafril (kanan), Presiden Majlis Perwakilan Pelajar KMS 2018-2020 yang diraikan dalam majlis graduasi tersebut

Kuala Lumpur, 28 Ogos 2020 – Pandemik COVID-19 tidak menghalang Kolej MARA Seremban (KMS)  rai 255 orang graduannya tahun ini menggunakan platform maya. Kekangan mengadakan graduasi secara fizikal mencetuskan idea inovasi MARA dan KMS untuk menghasilkan Video Graduasi 2020 berdurasi selama 60 minit.

Menurut Dr. Sa’aidah Abdul Rahman, Pengarah KMS, cetusan idea inovasi ini dilihat masih mempunyai elemen khusus graduasi secara fizikal seperti perarakan masuk graduan dan pengurusan kolej serta penerimaan skrol yang secara tidak langsung dapat mencetuskan mood graduasi dalam kalangan graduan.

“Graduasi maya ini memberi impak yang sangat positif kerana dapat memenuhi impian para graduan untuk bergraduasi walau hanya menggunakan platform maya. Kami berdepan dengan pelbagai cabaran baharu kerana pembikinan video graduasi ini mengambil masa selama sebulan dan menuntut pengorbanan dan kesabaran”

“Majlis graduasi ini merupakan acara kemuncak bagi meraikan pelajar KMS yang telah bertungkus-lumus menamatkan pelajaran dengan cemerlang malah ianya adalah apresiasi rohani yang melambangkan kejayaan graduan dalam perjuangan menempuh segala cabaran menuntut ilmu. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk merealisasikan impian mereka sebelum menyambung pelajaran ke universiti terkemuka,” kata Dr. Sa’aidah.

Kesemua graduan bakal menempatkan diri di peringkat Ijazah Pertama ke universiti terkemuka dunia antaranya Imperial College London, The London School of Economics and Political Science (LSE), University College London yang dijangka berangkat pada bulan September 2020. Tahun ini juga menyaksikan 81 pelajar Asasi UTM-MARA yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar 2018, Muhammad Khalid Al-Walid Hersafril ketika ditemui berkata, beliau dan teman yang lain sangat teruja dan bersyukur kerana impian mereka terlaksana untuk bergraduasi seperti mana graduan terdahulu.

“Walaupun hanya graduasi secara maya, kami amat berterima kasih kerana MARA dan KMS masih prihatin meraikan kami. Penghasilan video ini sangat berbaloi kerana hikmah di sebalik wabak COVID-19 ini, kami sekeluarga dapat menyaksikan Majlis Graduasi Maya KMS 2020 menerusi laman sosial rasmi MARA walaupun berada di rumah,” ujar Muhammad Khalid Al-Walid gembira.

Penghasilan video Graduasi KMS 2020 secara maya ini juga dapat mengurangkan risiko penyebaran wabak COVID-19 dalam kalangan pelajar dan keluarga serta secara tidak langsung membantu Malaysia dalam memerangi wabak COVID-19 dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh KKM dan MKN.

Manakala Presiden Majlis Perwakilan Pelajar 2019, Muhammad Shafiq Imran Mohd Shahrin pula berkata, majlis graduasi maya ini merupakan kenangan terindah yang bakal diingati sepanjang hayat memandangkan ianya diadakan buat julung kalinya.

“Saya risau sekiranya kami tidak ada sebarang majlis graduasi, membayangi bagaimana ianya akan dilaksanakan, namun kegusaran ini terubat dan berasa gembira bahkan tidak menyangka akan meraikan hari bersejarah secara maya. Saya percaya semua graduan akur dan mematuhi PKPP ini, kita tidak boleh berasa selesa dan perlu jaga keselamatan diri dan keluarga,” kata Muhammad Shafiq Imran.

Pendekatan yang diambil ini sangat relevan dengan keadaan dunia pada waktu sekarang yang sedang berusaha melawan penularan COVID-19 melalui kaedah penjarakan sosial, pengurangan pergerakan dan perhimpunan beramai-ramai.

Suasana sekitar Majlis Graduasi KMS secara langsung menerusi Facebook MARA

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.