50 Pelajar Tajaan MARA Layak ke 30 Universiti Terbaik Dunia

Dato’ Azizah (tengah) beramah mesra bersama pelajar yang terpilih mengikuti program WTU semasa penyerahan surat tawaran di Premiera Hotel semalam.

Kuala Lumpur, 26 Ogos 2020 – YB Dato’ Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun menghadiri Majlis Ramah Mesra Pengerusi MARA Bersama Pelajar Program WTU 2020 yang telah ditawarkan mengikuti program Universiti Terbaik Dunia (WTU).

WTU merupakan program penajaan pelajaran MARA yang memberi peluang kepada pelajar cemerlang untuk mengikuti pengajian dalam dan luar negara. Sejak diperkenalkan pada tahun lepas, seramai 31 orang pelajar telah mengikuti pengajian di bawah program ini.

Pada tahun ini, seramai 50 orang pelajar layak diterima masuk ke 30 universiti terbaik dunia berdasarkan QS Ranking. Mereka akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang dari peringkat Ijazah Pertama sehingga ke peringkat kedoktoran/Doktor Falsafah (PHD).

MARA telah melaksanakan program penganjuran pelajaran sejak tahun 1966 dan hingga kini telah menaja seramai 1.35 juta orang pelajar dalam dan luar negara. Pada tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion bagi tujuan program penganjuran pelajaran yang dijangka memberi manfaat kepada 50,000 orang pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian.

Selain daripada WTU, MARA turut menawarkan pelbagai program lain di bawah Bahagian Penganjuran Pelajaran seperti Young Talent Programme (YTP), Tertiary Education Sponsorship Programme, (TESP), IPMA Excellent Student Programme (IESP), Graduate Excellent Programme (GrEP), Professional Development Programme (Pro-P), Talent Development Programme (TDP), MARA Apperenticeship Programme (MAP), MARA Education Sponsorship Hybrid Programme (MESH) dan Advance Sponsorship Education Programme (A-SEP).

MARA sentiasa membuka peluang kepada pelajar Bumiputera yang cemerlang untuk melanjutkan pengajian di universiti terbaik dunia. Pendedahan kepada persekitaran yang kondusif akan melahirkan pelajar yang mampu bersaing sekaligus mewujudkan jaringan antarabangsa.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.