Karnival IPMA Meriah, Pengunjung Berpuas Hati

Dato’ Hajah Azizah (duduk dari kanan) menandatangani buku pelawat program pendidikan TVET MARA sewaktu meninjau booth Karnival IPMA di Dewan Pa’ Musa, Beaufort, Sabah.

Oleh : Ierwan Ismail
media@mara.gov.my

Beaufort, 25 Ogos – Penganjuran Karnival Institusi Pendidikan MARA 2020 (KIPMA’20) bertempat di Dewan Pa’ Musa, Beaufort, Sabah selama dua hari mendapat reaksi positif daripada pengunjung terutamanya para ibu bapa.

Tinjauan yang dijalankan mendapati rata-rata pengunjung di kalangan para pelajar dan ibu bapa berpuas hati dengan penganjuran kali ini dan berharap agar ia akan diadakan lebih kerap lagi pada masa hadapan.

Seorang pengunjung dari Beaufort, Zaini Sidi, 46, berkata beliau tidak pernah terlepas untuk menghadiri karnival seperti ini kerana bagi beliau inilah ruang terbaik untuk masyarakat luar bandar mendapatkan maklumat mengenai pengajian anak-anak.

“Program ini sebaiknya dijalankan di kawasan yang jauh (luar bandar) kerana terdapat kemudahan akses internet yang lebih baik daripada kebiasaan”.

“Saya memang tertunggu-tunggu program seperti ini diadakan khususnya yang dianjurkan oleh MARA kerana anak saya juga pernah belajar di IKM Jasin, Melaka”.

Beliau yang hadir bersama anaknya turut menyatakan bahawa kebanyakan keluarga di luar bandar mempunyai masalah yang berkaitan dengan akses internet dan berharap mereka akan mengambil kesempatan untuk menghadiri karnival seperti ini bagi mendapatkan maklumat mengenai pendidikan MARA.

Seorang pengunjung daripada Kampung Kebulu, Beaufort, Siti Anon Jaafar, 50, berkata beliau sangat gembira serta mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan MARA dalam menganjurkan program karnival di kawasan luar bandar khasnya di Beaufort.

“Saya amat gembira dengan peluang yang diberi oleh MARA dan berasa amat bertuah kerana anak saya sendiri sangat teruja untuk memohon memasuki MRSM”.

“Saya berharap anak saya akan dipanggil ke temuduga (ujian) serta berjaya menyambung pelajaran ke MRSM kerana sebab itulah saya datang hari ini”, katanya lagi.

Pelajar tahun enam, Siti Nursyahirah Jimlin, 12, pula berkata beliau datang ke Karnival IPMA ini kerana dijemput untuk menerima bantuan daripada Yayasan Pendidikan MARA (YPM).

“Pada awalnya saya datang bersama ibu bapa untuk menerima bantuan YPM, namun apabila saya melihat video “Memenuhi Harapan” yang ditayangkan semasa perasmian tadi, hati saya rasa berkobar pula”.

“Oleh kerana boleh memohon secara online hari ini, saya terus memohon dan berharap akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke MRSM”, katanya.

Dalam program yang sama, Pengerusi MARA, YB Dato’ Hajah Azizah binti Mohd Dun telah mengumumkan bahawa permohonan kemasukan ke MRSM bagi sesi 2021 akan (telah) dibuka pada 24 Ogos 2020.

“Kemasukan ke MRSM pada tahun hadapan mewajibkan calon menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) bagi menguji potensi dan minat pelajar melibatkan mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Inggeris serta ujian Keperibadian”.

“Calon perlu lulus keempat-empat ujian untuk melayakkan diri dipertimbangkan memasuki MRSM dan keutamaan diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau yang ditemui ketika merasmikan Karnival IPMA 2020 di sini turut menyampaikan bantuan pendidikan BUDI dan YPM kepada pelajar MRSM dan sekolah rendah sekitar Beaufort.

Selain itu, turut berlangsung penyerahan sijil tahniah kepada pelajar yang bakal ke luar negara menerusi tajaan pendidikan World’s Top University (WTU), Young Talent Development (YTP) dan IPMA Excellent Student Programme (IESP) serta penyampaian surat tawaran kemasukan ke IPMA dan bantuan Program Peningkatan Pendapatan (PPP).

Azizah yang juga merupakan Ahli Parlimen Beaufort turut mengumumkan pembinaan sebuah Kolej Profesional MARA (KPM) di Beaufort telah diluluskan di atas tanah seluas 12 hektar dan dijangka akan dapat memulakan operasi pada pertengahan 2023.

“Kolej (KPM) berkenaan merupakan yang pertama di Sabah, menawarkan kursus-kursus profesional yang memberi manfaat kepada penduduk setempat selain membuka peluang pengajian kepada rakyat di negara ini,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Datuk Isnin Hj Aliasnih, ADUN Klias, YB Datuk Limus Jury, ADUN Kuala Penyu, YB Tuan Matbali Musah, ADUN Lumadan, Dato’ Mohamed Roseli Dol, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA dan Dr. Shahrizin Abdul Sarhadat, Pengarah MARA Sabah.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu mengumpulkan kesemua IPMA dan pelbagai aktiviti menarik disediakan. Antaranya ialah pendaftaran online IPMA dan MRSM, kaunseling kerjaya (e-Potensi), permohonan penajaan dan pinjaman pendidikan MARA dan demonstrasi mengecat kereta oleh pelajar IKM Kota Kinabalu.

Pendekatan unik berkonsepkan 4P iaitu Penerangan, Permohonan, Penawaran dan Penajaan akan membolehkan surat tawaran terus dikeluarkan kepada pelajar yang memohon turut menarik minat pengunjung ke karnival ini.

 

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.