Permohonan Kemasukan Ke MRSM Sesi 2021 Dibuka

Dato’ Azizah (dua dari kanan) melihat seorang pelajar tahun enam SK Klias mengisi permohonan ke MRSM secara online semasa merasmikan Program Karnival IPMA di Dewan Pa’ Musa, Beaufort.

Oleh : Ierwan Ismail
media@mara.gov.my

Beaufort, 23 Ogos – YB Dato’ Hajah Azizah Mohd Dun, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengumumkan permohonan secara online kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tahun 2021 bagi Tingkatan 1 dan 4  dibuka pada 24 Ogos 2020 (Isnin) bermula jam 9.00 pagi.

MRSM menyediakan sistem pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan insan cemerlang yang holistik, inovatif dan berintegriti.

Kemasukan ke MRSM pada tahun ini mewajibkan calon untuk menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) bagi menguji potensi dan minat calon. UKKM melibatkan subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris serta Ujian Keperibadian. Bagi pemohon yang memohon program Ulul Albab pula diwajibkan untuk menduduki Ujian Hafazan sebagai syarat tambahan.

Calon perlu lulus keempat-empat UKKM untuk melayakkan diri dipertimbangkan memasuki MRSM dan keutamaan diberikan kepada golongan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Pemohon dinasihatkan untuk membuat permohonan lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah dan memudahkan urusan UKKM dilaksanakan dengan sempurna.

Sehubungan itu, MARA mempelawa calon yang berminat, memiliki sahsiah terpuji serta jati diri yang tinggi untuk memohon dan seterusnya mengikuti Sistem Pendidikan Maktab Rendah Sains MARA (SPMRSM) yang menawarkan program-program berteraskan kurikulum kebangsaan dan antarabangsa.

Calon yang berjaya memasuki sistem pendidikan MRSM berpeluang untuk menelusuri ekosistem pendidikan MARA selepas tamat pengajian di MRSM meliputi program persediaan dalam dan luar negara, pendidikan berasaskan TVET dan Profesional di institusi pendidikan MARA dengan tajaan dan pembiayaan MARA atau agensi lain.

MARA komited untuk melahirkan pelajar sahsiah terpuji, cemerlang dan akan menyumbang kepada pembangunan modal insan untuk negara. Justeru, calon yang berminat boleh memohon secara atas talian dengan melayari Portal Rasmi MARA di alamat https://www.mara.gov.my/ dan Laman Media Sosial Rasmi MARA di FB https://www.facebook.com/MajlisAmanahRakyat, Instagram  https://www.instagram.com/majlisamanahrakyat/ dan Twitter https://twitter.com/maragov.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 4 Disember 2020.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.