10 Petua melangkah ke alam perniagaan

Zamri Abu pengusaha produk sarang burung yang berpengalaman dan merupakan antara usahawan MARA yang berjaya

Oleh: Akmal Azlan

Nilai, 5 Ogos  – Menceburi dunia perniagaan bukan sebuah perkara mudah untuk kita lalui dan seseorang yang hendak menjadi usahawan perlu mempunyai ilmu pengetahuan jika hendak memulakan sesuatu perniagaan.

Zamri Abu, pengusaha terkenal produk Sarang Burung Walit Negeri Sembilan yang berpengalaman 12 tahun dalam industri tersebut tampil memberikan 10 tips untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Menurut Zamri Abu, jika seseorang itu berniat hendak menjadi usahawan, dia perlu menetapkan keyakinan pada dirinya agar sentiasa bersedia dan konsisten untuk menghadapi segala cabaran.

Berikut merupakan 10 tips perkongsian oleh Zamri Abu yang perlu kita ambil tahu dan praktis apabila hendak bergelar sebagai seorang usahawan.

1. Kenali produk anda – Nak menjadi seorang usahawan, kita perlu mengenal pasti produk apa yang kita nak jual dan siapakah kumpulan sasar yang bakal menjadi pembeli kepada produk kita. Setiap perkara yang kita hendak mulakan, kita perlu mengkaji segala perincian yang ada agar memudahkan perkembangan laluan perniagaan kita.

2. Tolak sebarang tanggapan negatif – Kita juga perlu bersedia menepis sebarang tanggapan dan kiritikan orang yang mengatakan berniaga ini susah yang mungkin berniat jahat untuk menjatuhkan kita. Apa yang paling penting ialah kita harus terus melangkah ke hadapan tanpa menoleh kebelakang dan sentiasa berusaha tingkatkan fokus untuk memajukan perniagaan kita.

3. Pengurusan kewangan yang bijak – Ramai orang terjebak dan tersilap langkah dalam hal mengurus kewangan sehingga mereka terjatuh ke lembah hutang yang memberikan kesulitan dalam kehidupan mereka. Justeru itu, kita perlu rajin belajar dengan mengikuti kursus mengurus kewangan dan bagaimana cara mentadbir urus syarikat kita dengan baik agar efisien dan berkesan. Berdasarkan pengalaman saya, “pengurusan kewangan saya pada awal perjalanan perniagaan ini memang agak terabur. Setelah saya mengikuti kursus pengurusan kewangan, barulah saya Nampak cara untuk kita mengurus belanja yang betul agar hasil jualan dan keuntungan tidak bercampur aduk.”

4. Peka mengurus masa – Jangan terlalu selesa dengan masa yang kita peroleh sehingga kita lalai untuk memanfaatkan masa yang lapang. Apabila anda telah bergelar sebagai seorang usahawan, anda perlu memberi komitmen dan fokus yang tinggi untuk sentiasa berfikir bagaimana cara untuk membuat pembaharuan produk, strategi meluaskan pasaran produk dan pelbagai lagi. Jangan leka dan manfaatkan masa anda!

5. Belajar trend terkini – Pemasaran secara online terlalu meluas pada kini. Saya melihat setiap usahawan perlu belajar cara untuk memanfaatkan platform media sosial yang sangat berkesan untuk mengiklan dan mempromosikan produk-produk. Ianya sangat fleksibel, jimat dan tidak memerlukan kos yang tinggi untuk memasarkan produk secara mudah.

6. Kenali platform agensi keusahawanan – Sebelum ini saya tidak mengenali MARA secara Saya hanya mendengar MARA itu hanya ada GIATMARA dan pembelajaran di bawah MARA. Bila saya mendaftar diri sebagai usahawan MARA banyak peluang-peluang dan laluan yang diberikan oleh MARA seperti pemasaran produk, pembungkusan, pembiayaan, khidmat nasihat, dan cara untuk menonjolkan diri dalam media sosial dan banyak lagi manfaat yang kita dapat perolehi daripada MARA.

7. Berdaya saing – Pada masa ini kita melihat begitu ramai usahawan menjual produk yang pelbagai. Antara satu benda penting untuk kita utamakan ialah memastikan produk kita halal, bersih, selamat, serta bermutu tinggi. Penekanan ini akan memberi keyakinan kepada pembeli untuk menggunakan produk kita. Secara tidak langsung, kita juga dapat mengurangkan sedikit cabaran bersaing dengan usahawan yang lain.

8. Kaji balik kelemahan produk – Setiap produk yang dihasilkan tidak akan sempurna. Oleh itu, kita perlu memberi penekanan dalam menghasilkan produk yang bermutu, harga mampu milik dan mengikut harga pasaran. Kritikan dan komen daripada pelanggan itu adalah poin penting untuk kita mengenal pasti kelemahan produk agar kita dapat kaji balik dan tingkatan kelemahan tersebut.

9. Kreatif dan inovatif – Elemen ini adalah penting untuk kita terus berupaya untuk berdaya saing. Usahawan yang berjaya adalah usahawan yang sentiasa mempunyai idea yang baharu. Kita kena melihat produk-produk usahawan yang ada di pasaran, kena tahu apa misi dan visi perniagaan dan skop pemasaran yang mereka lakukan agar kita boleh memperbaharui produk yang sedia ada serta menjadi sebuah kelainan dan unik.

10. Bersedia mendepani cabaran yang mendatang – Kita tidak dapat meramalkan sebarang kemungkinan cabaran yang melanda ekonomi. Pandemik COVID-19 telah banyak memberi penjejasan kepada aktiviti perniagaan terutamanya golongan usahawan Industri Kecil Sederhana malahan syarikat besar pun ada yang gulung tikar. Justeru itu, kita perlu minimumkan perbelanjaan yang mungkin membazir agar kita boleh kekalkan perkara yang sedia ada.

Dalam perkongsian ini juga, Zamri Abu yang merupakan usahawan MARA juga turut merasa bersyukur dan berpuas hati terhadap kemudahan yang disediakan oleh MARA kepada usahawan Bumiputera.

“Saya sangat bertuah kerana menjadi usahawan MARA yang banyak memberi manfaat kepada saya. Pelbagai manfaat yang saya perolehi yang mungkin tidak ada pada agensi lain.”

“Segala perkara yang melibatkan proses oleh MARA dilakukan dengan terurus dan cepat. Saya merasakan semua usahawan Bumiputera perlu sedar dan ambil tahu kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh MARA.” kata Zamri Abu.

 

 

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.