MRSM Batu Pahat raih tempat pertama Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Johor

Oleh : Ierwan Ismail
media@mara.gov.my

Johor Bahru, 27 Julai 2020 – Penilaian kuantitatif terbaik melayakkan Koperasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat meraih tempat pertama bagi kategori sekolah pada Anugerah Koperasi Terbaik peringkat negeri Johor bagi tahun 2019.

Majlis yang dianjurkan setiap tahun oleh Suruhanjaya Koperasi Negeri Johor (SKM Johor) diadakan di Hotel Trove Johor Bahru pada 23 Julai lalu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi Dan Sumber Manusia Negeri Johor, YB Tuan Mohd. Izhar Ahmad.

Dalam majlis tersebut, Koperasi MRSM Batu Pahat yang diwakili oleh pengerusinya, Encik Emirrudin Jaafar telah membawa pulang sebuah piala pusingan berserta sijil pengiktirafan. Turut bersama beliau adalah Encik Khairul Hazwan Zarkasi yang merupakan Setiausaha Koperasi MRSM Batu Pahat.

“Mewakili pihak Koperasi MRSM Batu Pahat Berhad, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada MARA, Bahagian Pendidikan Menengah, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysi Berhad (ANGKASA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta pihak pengurusan maktab di atas segala bantuan dan kerjasama yang diberikan”, kata beliau.

“Kejayaan ini tidak akan terhasil tanpa sokongan dan dokongan kuat khususnya daripada Pengetua MRSM Batu Pahat dan seluruh warga MRSM Batu Pahat dalam membantu kita meraih dan mengecapi pelbagai kejayaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan selama ini”, tambah beliau.

Kaedah penilaian kuantitatif yang merangkumi pelbagai aspek seperti pengurusan kewangan, kompetensi pengurusan, pematuhan perundangan, kelestarian perniagaan, kepuasan pelanggan dan keyakinan masyarakat merupakan kriteria penting bagi sesebuah koperasi memenuhi kelayakan sebagai pemenang.

Menurut Emirrudin lagi, Koperasi MRSM Batu Pahat telah mematuhi syarat-syarat serta kriteria dengan cemerlang malah berjaya merekodkan sifar pelanggaran undang-undang sepanjang tempoh tahun penilaian dan inilah faktor penyumbang kepada kejayaan Koperasi MRSM Batu Pahat.

Kejayaan Koperasi MRSM Batu Pahat sememangnya tidak dapat disangkal dan dipertikaikan. Mana tidaknya, sepanjang tahun 2019 koperasi ini telah meraih serta mencapai pelbagai kejayaan sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Antara kejayaan yang dikecapi adalah Johan Koperasi Sekolah Terbaik Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah Peringkat Negeri Johor Tahun 2018 & 2019, Johan Pertandingan Young Enterpreneur Strive For Success (YESS) Peringkat Negeri Johor 2018 & 2019.

Manakala di peringkat kebangsaan pula, mereka pernah meraih kejayaan sebagai Johan Koperasi Terbaik MRSM-SeMalaysia 2019, Johan Koperasi Terbaik Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019 dan tempat ketiga Pertandingan Young Enterpreneur Strive For Success (YESS) Peringkat Kebangsaan 2019 di Hotel Grand Ion Delemen Genting Highland.

This entry was posted in Berita Kejayaan. Bookmark the permalink.