Oleh: zuraini@mara.gov.my
Putrajaya, 23 Julai 2020 – Seramai 61 orang usahawan di bawah agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah terpilih bagi mengikuti product pitching bagi program Rural Business Outlet (RBO@KPLB) bertempat di sini hari ini.
Product pitching ini merupakan platform bagi melayakkan diri ke Program Rural Business Outlet (RBO@KPLB) yang berkonsepkan pusat sehenti yang bakal memasarkan produk para usahawan desa dari agensi di bawah KPLB terpilih dan berpotensi. Ianya ditubuhkan bagi memenuhi permintaan masyarakat untuk mendapatkan produk usahawan desa yang sebelum ini hanya dipasarkan di kawasan setempat atau secara bermusim.
Justeru dengan adanya RBO@KPLB ini dapat membantu mempromosikan produk usahawan desa ke peringkat nasional dan secara tidak langsung membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada warga tempatan dengan pertambahan pengeluaran produk.
Salah seorang usahawan MARA yang menghadiri sesi padanan produk RBO@KPLB ialah Arisprop Holdings Sdn Bhd merupakan pengeluar utama bagi produk sejuk beku berjenama Aris Burger. Menurut Pengurus Operasi dan Pembangunan Perniagaannya, Faizal Najib Abdullah pemilihan syarikat beliau ke sesi ini sebagai salah satu usaha ke arah merealisasikan aspirasi syarikatnya untuk menjadi syarikat peneraju bagi keluaran burger ayam kampung kacuk komersil.
“Sesi ini dapat memberi peluang kepada syarikat saya untuk memperluaskan lagi pasaran dan saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan demi memenuhi objektifnya iaitu membantu usahawan desa khususnya untuk mempromosikan produk mereka di samping dapat bersaing dalam pasaran antarabangsa pada masa akan datang” katanya.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd Latif Ahmad turut hadir memberi amanat beliau dan sempat meninjau beberapa produk usahawan agensi di bawah kementeriannya pada satu sesi walkabout. Beliau menyatakan sokongan kementeriannya melalui inisiatif yang ditawarkan dalam membantu membangunkan usahawan Bumiputera dan menyarankan agar para usahawan mempunyai identiti produknya sendiri.
Sementara itu, menurut Pengurus Noraini Cookies Worldwide Sdn. Bhd., Amin Husin, beliau berharap dapat bekerjasama dengan pihak MARA dan KPLB dalam merealisasikan pasaran produk syarikatnya ke peringkat antarabangsa.
“Syarikat kami merupakan pengeluar bagi produk biskut dan tepung segera yang ada dijual di halal mart dan pasaraya berjenama. Kami dapat banyak peluang daripada MARA dari segi kursus, pembiayaan dan turut serta dengan MARA bagi promosi produk sehingga ke luar negara” katanya.
“Harapan saya agar syarikat kami dapat bekerjasama dengan pihak MARA dan KPLB dalam memberi perkhidmatan semula kepada MARA kerana selama ini MARA banyak membantu dalam mempromosikan produk kami” tambah beliau.
Manakala Juliyana Jamil dari Julies Salon berasa bertuah kerana terpilih menghadiri sesi padanan ini. Usahawan hasil didikan MARA Selangor ini telah menerima manfaat dalam bentuk pinjaman serta mengikuti kursus keusahawanan bersama MARA.
“Ini merupakan kali pertama saya hadir bagi sesi padanan produk, saya berasa teruja dan apa yang kurang semasa pembentangan saya tadi akan saya perbaiki dan pelajari seperti mana yang telah disarankan oleh barisan panel. Pada masa yang sama saya turut berharap agar dapat dipertimbangkan bagi program ini” ujarnya. Beliau juga baru sahaja mengeluarkan produk kecantikan rambut seperti tonik, serum dan syampu dan telah mempunyai beberapa cawangan spa dan salon milik beliau sejak 10 tahun lalu.
Barisan panel bagi pemilihan product pitching ini terdiri dari wakil KPLB, MARA dan SD Impex Sdn Bhd selaku wakil operator. RBO@KPLB bakal dilaksanakan dalam bentuk pasar mini premium yang menempatkan produk usahawan desa yang terpilih berdasarkan tiga kluster iaitu makanan, fesyen dan kraf. Anggerik Mall, Shah Alam Selangor akan menjadi lokasi pertama bagi penubuhan RBO@KPLB.