“Pemasaran secara digital lebih dekat kepada pelanggan” – MARA In Fashion (MIF)

Pengerusi MARA, YB Dato Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun beramah mesra bersama para peserta dan melihat produk rekaan usahawan MARA

Oleh: Zuraini Sainal

Kuala Lumpur, 16 Julai  – Isu pandemik COVID-19 telah menyebabkan kemerosotan terhadap penjualan dan pemasaran produk para usahawan MARA. MARA telah mengambil inisiatif untuk mengadakan bengkel promosi pembangunan pemasaran secara digital kepada para usahawan MARA In Fashion dalam membantu meningkatkan pemasaran produk keluaran mereka secara terus dan lebih dekat dengan pelanggan yang dilihat lebih berminat membuat pembelian secara online.

Pengerusi MARA, YB Dato Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun mengucapkan tahniah kepada pengurusan MARA yang menganjurkan program MARA In Fashion kerana program ini amat wajar dianjurkan.

“Saya merasakan perkara ini adalah benda yang kita perlu buat kerana COVID-19 ini membuka mata kita semua. We have to think out of the box and beyond the normal benda yang kita buat. Kita tak payah tunggu orang datang ke kedai kita. Kita kena keluar dan tunjuk barang yang kita ada pada semua,” kata YB Dato Hajah Azizah.

This is a new challenge. Saya sangat pasti peserta yang hadir pada hari ini adalah kerana hendak berjaya. Kita bukan nak berjaya dalam kalangan kita sahaja tetapi kita nak berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa.” tambah YB Dato Hajah Azizah lagi.

“Kita juga perlu berani menerokai bidang baru, cara baru, wawasan baru dan kita perlukan juga artificial intelligence yang sesuai dengan kehendak dunia sekarang. Saya nak tengok suatu hari nanti, ada jenama dan mempunyai outlet kita sendiri… kita nak tengok juga produk tempatan Malaysia,” ucap YB Dato Hajah Azizah dalam pesanannya kepada para peserta MIF.

Bengkel yang dihadiri oleh seramai 25 orang peserta ini terdiri dalam kalangan usahawan sedia ada dan usahawan baharu telah diajar modul dalam penyediaan isi kandungan Instagram, pelan pemasaran digital, asas teknik pemasaran digital media, teknik fotografi dan videografi dengan hanya menggunakan telefon pintar.  Bengkel ini juga membantu para usahawan bagi membangunkan konsep rekabentuk bahan promosi digital sepanjang tempoh kempen bagi tujuan promosi.  Selain itu, perancangan media merangkumi iklan di Instagram bagi menaikkan bilangan pelanggan sekaligus menaikkan potensi jualan usahawan.

Bengkel seumpama ini bukan sahaja mampu menjadi platform digital terbaik bagi menaik taraf kaedah operasi dalam mendepani cabaran mendatang malahan turut membantu meningkatkan penyampaian komunikasi dengan lebih cepat, pantas dan berkesan kepada para pelanggan yang kini menggunakan media sosial sebagai media utama.

Menurut Aida Fazirah bt Nazri, 34 salah seorang peserta bengkel yang merupakan usahawan serta bekas pelajar GIATMARA berkata melalui kepakaran dan kreativiti pemasaran yang mengikut trending terkini mampu menarik perhatian pembeli di luar sana.

“Kami diajar teknik mengambil gambar dari pelbagai sudut bagi menampakkan produk kami di samping itu juga penggunaan pencahayaan yang betul amat penting bagi menghasilkan gambar yang menarik dan kreatif ditambah lagi dengan penggunaan aplikasi yang mudah dimuat turun secara percuma” katanya.

“Selain dari menerima tempahan jahitan, saya merancang untuk memperluaskan lagi rangkaian perniagaan dengan menjual barangan keperluan jahitan seperti manik, benang dan banyak lagi melalui pembekal yang telah dikenalpasti” menurutnya yang juga merupakan penerima kemudahan PUTEK.

Sementara itu, Asma Sura usahawan dari Puchong telah berkecimpung dalam bidang jahitan sejak berusia 13 tahun menyambut baik bengkel yang dihadiri beliau.  Usahawan ini telah menghasilkan produk jenamanya sendiri di bawah nama Asmassura Neddle and Work dan produk keluaran beliau ialah beg tangan.  Penulis sendiri telah melihat pelbagai hasil koleksi jahitan beg tangan beliau yang dirasakan amat halus dan teliti hasil jahitannya serta eksklusif.

“Saya telah menghadiri beberapa siri bengkel yang turut dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan, namun dengan adanya bengkel ini ia dapat membantu memperkukuhkan ilmu  sedia ada di samping memberi peluang kepada saya untuk membina rangkaian kenalan baharu dalam bidang ini”  menurutnya.

Beliau menambah tempoh kursus yang ditawarkan amat terhad dan mencadangkan agar tempohnya dipanjangkan lagi agar dapat mempelajari lebih banyak modul untuk diaplikasikan dalam pemasaran produk beliau.

Konsultan bengkel, Puan Shuhada bt Hasim amat berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh para peserta yang dilihat amat kreatif dan teruja dengan ilmu yang dikongsi bersama.  Para peserta telah beramah mesra bersama Pengerusi MARA, YB Dato Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun manakala pada sesi petang penyampaian sijil penyertaan telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, YBhg. Dato’ Zulfikri bin Osman.

Timbalan Ketua Pengarah MARA Keusawanan, YBhg. Dato’ Zulfikri bin Osman bersama para peserta bengkel kursus.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.