
Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis (dua dari kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Dato’ Zulfikri Osman (pertama dari kanan), PMN Perlis dan para peserta LPU
Oleh: Ierwan Ismail
Langkawi, 16 Julai – Pejabat MARA Negeri (PMN) Perlis dengan kerjasama Akademik Tranformasi Asnaf MAIPs Sdn. Bhd telah menganjurkan kursus Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) yang berfokuskan kepada usahawan muda golongan asnaf sebagai satu inisiatif membuka laluan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian Program LPU serta bertitah,
“Semua peserta kursus LPU haruslah menggunakan peluang dan ruang yang diberikan di dalam kursus ini untuk menimba dan menambah ilmu di dalam bidang keusahawanan agar dapat digunakan dalam perniagaan mereka.”
Menurut Encik Mohamad Johari bin Man, Pengarah MARA negeri Perlis, program ini dilaksanakan khusus untuk golongan asnaf yang terpilih adalah terdiri daripada keluarga yang menerima bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs).
“Seramai 43 orang telah ditemuduga oleh MAIPs dan MARA dan daripada jumlah tersebut, seramai 20 orang usahawan telah terpilih”, katanya lagi.
Dalam ucapan perasmian itu juga, beliau turut menegaskan bahawa menjadi matlamat MARA untuk melahirkan seberapa ramai usahawan yang berketerampilan dan mempunyai jati diri mantap, sanggup menghadapi cabaran dan dugaan serta risiko di dalam perniagaan.
“Kita harapkan agar kursus ini akan memantapkan kekuatan dan keyakinan diri peserta dan menjadikan mereka usahawan yang mempunyai jati diri, bermotivasi, berinovasi, berdaya maju dan berdaya saing dalam apa jua perniagaan yang dijalankan”, tegasnya.
Kursus yang berlangsung selama 10 hari ini disertai seramai 20 orang bakal usahawan muda asnaf yang dipilih daripada seluruh negeri Perlis bertujuan untuk mewujudkan usahawan baru di kalangan asnaf yang berdaya saing, kreatif dan inovatif. Usaha ini penting bagi meningkatkan ilmu keusahawanan dan inspirasi pengurusan dalam melahirkan sikap yang positif terhadap diri sendiri dan berwawasan.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya bagi program berkenaan pada 13 Julai 2020 bertempat di Myangkasa Akademi & Resort Langkawi. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Dato’ Zulfikri Osman, Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan, dan Pengarah Pejabat MARA Negeri Kedah.