Studio pengantin normal baharu ganti majlis resepsi

Oleh: Akmal Azlan

Bandar Jengka, 15 Julai – Usahawan MARA, Suziyanti Ngah mencetuskan idea baharu dengan menyediakan studio pengantin sebagai pengganti majlis resepsi perkahwinan semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ekonomi perniagaan yang kurang memberangsangkan akibat penularan wabak penyakit COVID-19 memberi impak yang besar kepada para usahawan Bumiputera.

Namun, Suziyanti Ngah, 43, atau lebih dikenali Kak Long berkata setiap usahawan perlu memikirkan jalan penyelesaian atau mencuba idea yang baharu untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

“Sebelum PKP dilaksanakan, setiap bulan syarikat perkhidmatan kami diperlukan untuk menyediakan segala kelengkapan majlis resepsi seperti pelamin, make-up, set baju persalinan, dan lain-lain sehingga menjana pendapatan 20k-30k.

Selepas PKP pula, kami tiada permintaan atau jobs menyebabkan perniagaan ini hilang sumber pendapatan.”kata Suziyanti.

Suziyanti Ngah yang banyak pengalaman mengikuti kursus latihan pembangunan usahawan MARA akhirnya memutuskan untuk menjadikan butik pengantin beliau di Arked MARA Bandar Jengka menjadi studio pengantin.

“Walaupun keadaan sangat tidak stabil dan sukar mendapat permintaan, sebagai seorang usahawan, kita perlu menjadi seorang yang berfikir dan kreatif. Ini lah masanya saya mengaplikasikan input hasil daripada kursus yang saya ikuti di bawah MARA. Saya mengambil inisiatif untuk mengubah butik saya menjadi studio pengantin.

Studio pengantin ini juga mematuhi peraturan SOP serta sesuai dengan keadaan sekarang atau normal baharu dengan menyediakan servis fotografi, pelamin sedia ada, make-up dan persalinan baju pengantin “ tambahnya lagi.

Menurut beliau lagi, perkahwinan atau menjadi raja sehari adalah hari bersejarah buat semua para pengantin dalam kehidupan mereka.

“Saya mengambil inisiatif ini juga kerana supaya para pengantin dapat merakamkan momen indah mereka pada hari tersebut. Saya sangat memahami keadaan COVID-19 memberi kekangan kepada mereka untuk menjalani resepsi perkahwinan seperti biasa.

Selepas pengantin melafazkan akad nikah, mereka hanya perlu hadir ke studio saya untuk sesi bergambar. Di dalam gambar tersebut merakamkan momen mereka seperti majlis resepsi kebiasaannya,” ujar Suzianti.

Suziyanti mula menjadi usahawan MARA semenjak 2007 sehingga kini banyak mendapat manfaat latihan pembangunan usahawan serta merupakan penyewa 2 premis MARA di Arked MARA Bandar Jengka, Pahang.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat mengenali MARA. Hampir 13 tahun saya menjadi usahawan MARA, banyak kelebihan dan manfaat yang saya perolehi dalam mengembangkan perniagaan saya.

Di saat kritikal pun, MARA mengambil perhatian penuh dengan memberi pengecualian pembayaran sewaan bulan April dan Mei serta memberi 30% diskaun terhadap harga sewaan premis. Terima kasih MARA,” ucap Suzianti dengan penuh kesyukuran.

Setakat ini, Suzianti sangat berpuas hati terhadap permintaan pelanggan yang sangat menggalakkan dan mampu memulihkan penjanaan pendapatannya.

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.