AAT dan Unikl MIAT pemangkin pertumbuhan industri aeroangkasa

YB Dato’ Hajah Azizah mendengar taklimat dan meninjau sekitar kawasan tersebut

Oleh: Azilawati

Subang, 13 Julai – Pengerusi MARA, YB Dato’ Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun mengukir sejarah mengadakan Lawatan Kerja ke Asia Aerotechnic Sdn. Bhd. (AAT) dan UniKL MIAT, Subang, Selangor. AAT dan UniKL MIAT merupakan salah satu pemangkin utama kepada pertumbuhan industri aeroangkasa sekaligus menjadi sektor bernilai tinggi di Malaysia.

Azizah dan delegasi MARA turut mendengar taklimat ringkas daripada CEO AAT, Mohd Roslan Ismail dan Timbalan Presiden (Akademik dan Teknologi) UniKL , YBhg. Profesor Dr. Shahrulniza Musa berkenaan latar belakang dan peranan syarikat, pencapaian serta perkembangan terkini AAT dan UniKL MIAT.

Menurut Azizah, beliau jelas dengan peranan AAT dan UniKL MIAT serta berpeluang mengenal pasti kapasiti sebenar penglibatan MARA di dalam industri penerbangan Malaysia.

“Tahniah kepada AAT dan UniKL MIAT kerana berjaya melahirkan seramai 1,216 pelatih ‘On Job Training’ (OJT) sejak penubuhannya. Ianya selaras dengan tujuan utama penubuhan AAT iaitu pembangunan modal insan bagi melahirkan guna tenaga mahir di dalam bidang berteknologi tinggi. Di samping itu, AAT menyediakan tempat latihan praktikal bagi melengkapkan keperluan asas para pelatih untuk melayakkan mereka bergelar Licensed Aircraft Engineer (LAE),”puji Azizah.

“Bidang aeroangkasa berperanan besar dalam menyuntik dinamisme baharu ke arah membina ekonomi berpendapatan tinggi di Malaysia”

“Saya yakin menjelang 2030, AAT dan UniKL MIAT akan menjadi pemangkin utama sektor aeroangkasa negara yang mensasarkan penciptaan 32 ribu pekerjaan berpendapatan tinggi dan pendapatan tahunan berjumlah RM55.2 billion,” kata Azizah.

Program hari ini turut menyaksikan Penyerahan Pesawat B777-200 pendaftaran Z-NBE kepada Air Zimbabwe setelah selesai penyenggaraan berkala peringkat C2 oleh Asia AeroTechnic dan kunjungan Pengerusi MARA ke pejabat operasi dan hangar pesawat milik AAT bagi melihat operasi baik pulih pesawat seterusnya lawatan ke kampus dan hangar pesawat UniKL MIAT untuk melihat operasi selenggara pesawat.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.