TVET MARA Meraih Anugerah Emas & Diiktiraf Peringkat Asia Pasifik

Ir Mahzan Teh menerima penyampaian sijil anugerah emas mewakili TVET MARA yang disampaikan oleh YB Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad

Oleh : Akmal & Zanita

Kuala Lumpur, 10 Julai – Tiga institusi TVET MARA iaitu MARA-Japan Industrial Institute (MJII) , Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kuantan dan KKTM Ledang telah meraih Anugerah Emas atau Gold Award melalui pengiktirafan antarabangsa daripada Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).

APACC merupakan sebuah badan akreditasi pensijilan antarabangsa di bawah ‘Colombo Plan Staff College For Technician Education’ (CPSC) berpusat dari Manila, Filipina yang dianggotai 17 negara di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia. Anugerah ini merupakan akreditasi tunggal bagi menilai kualiti dan standard khasnya bagi institusi TVET di peringkat Asia Pasifik.

Menurut Ir Mahzan Teh, Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal (BKT) MARA pengiktirafan ini menjadi satu kebanggaan buat MARA yang mampu meningkatkan kebolehpasaran, pengiktirafan program dan mewujudkan sebuah nilai kepercayaan terhadap kualiti TVET.

“Saya melihat pengiktirafan Anugerah Emas ini membuktikan bahawa sistem pengajian di TVET MARA terutama di KKTM dan MJII telah mencapai standard TVET yang telah ditetapkan di peringkat antarabangsa.

Bukan itu sahaja, anugerah ini turut membuktikan graduan dari sistem pendidikan TVET yang ditawarkan oleh MARA berupaya bersaing setaraf dunia.

Pengiktirafan ini juga bakal membuka ruang dan peluang yang lebih luas kepada pelajar serta pensyarah institusi ini di dalam kerjasama TVET di peringkat negara anggota,” kata Ir Mahzan Teh.

Bagi meraikan pengiktirafan ini, YB Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad menyampaikan sekali lagi sijil tersebut di dalam sebuah majlis ramah mesra bersama YB Menteri.

YB Menteri juga mengucapkan kata-kata penghargaan serta menekankan pentingnya pendidikan TVET dalam melahirkan modal insan untuk menyokong keperluan pembangunan ekonomi negara serta membuka laluan kerjaya kepada graduan.

TVET MARA mensasarkan untuk menambahkan lebih banyak bilangan institusi serta melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam bidang kemahiran yang mampu memacu ekonomi negara. Bagi tahun hadapan, 3 buah pusat telah dikenal pasti untuk memperoleh pengiktirafan dan anugerah kecemerlangan ini. Dengan adanya ekosistem TVET MARA yang berkesan, ianya berupaya untuk meneruskan pemerkasaan pembangunan modal insan yang berfokuskan dalam bidang kemahiran.

Sijil pengiktirafan APACC

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.