Shuhaib Cemerlang CGPA 4.00 & meraih pengiktirafan di University Of Michigan

Shuhaib bersama ayah dan ibu meraikan hari graduasi

Oleh: Akmal Azlan

Kuala Lumpur, 1 Julai 2020 – Pelajar tajaan MARA, Shuhaib Nawawi meraih kecemerlangan dengan keputusan CGPA 4.00 dan dianugerahkan Richard F. Dan Eleanor A Towner Prize for Distinguished Academic Achievement’ daripada University of Michigan College of Engineering bagi tahun 2019-2020.

Menurut Shuhaib Nawawi, 24, penganugerahan tersebut diberikan khas kepada pelajar siswazah yang cemerlang dalam penglibatan penyelidikan, kepimpinan dan akademik.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana berjaya menamatkan pengajian Master di Universiti Michigan. Kejayaan yang saya perolehi ini adalah atas dasar sokongan mak dan ayah saya, ahli keluarga, tenaga pengajar dan pihak MARA selaku organisasi yang menawarkan tajaan pelajaran.

Anak kelahiran Kelantan ini merupakan pelajar tajaan MARA bermula September 2019 hingga Ogos 2020 bagi menjalani kursus Master of Engineering (Energy Systems Engineering).

Sebelum melanjutkan pengajian ijazah sarjana dalam bidang tersebut, beliau menyambung pengajian di universiti yang sama dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.

“Sehabis baik saya menamatkan ijazah Sarjana Muda pada tahun 2019, saya telah mengikuti kursus Energy Systems Engineering (ESE) melalui Integrative Systems & Design di universiti ini dengan tajaan program Graduate Excellence Program (GrEP) MARA.

Program ini membantu saya untuk mendapat laluan yang mudah hingga saya menamatkan pengajian dengan cemerlang pada hari ini,” kata Shuhaib.

Menurutnya lagi, beliau mempunyai inspirasi untuk memperoleh sebanyak mungkin kemahiran kualitatif serta softs skills yang membantu dirinya membangun bakat lain dalam bidang bisnes, ekonomi, komunikasi selain bidang kejuruteraan sahaja.

Selain itu, Shuhaib sangat meminati kursus yang diceburi dan mensasarkan boleh mendapatkan pekerjaan yang baik dan sesuai di masa yang akan datang.

Semasa menjalani pengajian Master sepenuh masa, Shuhaib juga berjaya memperkenalkan strategi untuk mengurangkan pelepasan karbon dari bangunan kepada pihak Universiti Michigan.

Prestasinya juga semakin cemerlang setelah menyertai Planet Blue Student Leader serta mengetuai pasukan Energy Efficiency yang meghasilkan langkah penjimatan tenaga rendah tanpa menggunakan kos. Sumbangannya ini sangat memberi manfaat kepada pihak universiti dalam memelihara alam sekitar.

“Kini, saya sedang bekerja sebagai Environmental Defense Fund Climate Corps Fellow di San Francisco California selama 3 bulan. Semestinya saya tidak akan melepaskan peluang keemasan ini sebagai salah satu permulaan perkembangan kerjaya saya,” ujar Shuhaib.

Bagi perancangan masa depan pula, Shuhaib bernekad untuk memanfaatkan ilmu pengetahuan dan pengalamannya bekerja dengan Petronas New Energy dalam membantu peralihan global ke sistem tenaga yang lebih bersih kerana saban hari dunia menghadapi masalah perubahan iklim yang boleh dikatakan kritikal.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.