Pembukaan Semula MRSM Patuhi Garis Panduan

Dato’ Azhar Abdul Manaf (dari kanan) menghadiri lawatan ke MRSM Alor Gajah

Oleh: Akmal Azlan

Alor Gajah, 27 Jun 2020 – Garis Panduan pembukaan semula MRSM yang telah ditetapkan adalah menepati piawaian pihak kerajaan sebagai langkah pencegahan wabak penyakit COVID-19.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Abdul Manaf semasa menghadiri lawatan ke MRSM Alor Gajah menegaskan kepada semua pihak yang melibatkan guru, dan pelajar khususnya untuk sentiasa mematuhi SOP tersebut.

“Saya di sini ingin menekankan agar semua pihak tidak mengambil mudah dalam mematuhi Garis Panduan yang dikeluarkan demi menjaga keselamatan bersama.

Para guru memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar mematuhi peraturan tersebut malah semua guru juga perlu berdisiplin mematuhi peraturan ini,” katanya.

Sempena dengan pembukaan MRSM ini, pelajar perlu menyesuaikan diri dalam kebiasaan baharu seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, mengamalkan penjarakan sosial 1 meter, serta mengunakan sanitasi selepas sesi pembelajaran.

“Kita meneliti secara keseluruhan pelaksanaan ini yang mengambil kira langkah pencegahan di setiap tempat seperti kelas pengajaran dan pembelajaran (PdP), makmal, asrama, dewan dan lain-lain agar tiada himpunan beramai-ramai dalam kalangan pelajar,” tambahnya lagi.

Dato’ Azhar turut merakamkan penghargaan kepada para guru MRSM di seluruh Malaysia yang komited meneruskan proses PdP semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara atas talian malah bertungkus-lumus mempersiapkan pelaksanaan SOP di sekolah pada ketika ini.

Pembukaan semula MRSM Alor Gajah bagi pasca COVID-19 membabitkan pelajar tingkatan lima seramai 140 orang bermula pada hari esok.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.