
Haqam Isa kini melanjutkan pengajian di GMI
Oleh: Akmal Azlan
Kuala Lumpur, 15 Jun 2020- Pelajar German-Malaysian Institute (GMI) mengambil peluang baik semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyediakan perkhidmatan membaiki peralatan komputer dan komputer riba hasil kemahiran yang beliau pelajari di GIATMARA.
Berbekalkan kemahiran yang ada, Hiqam Isa, 21, memanfaatkan kemahiran untuk mencari sumber pendapatan sebagai kerja sampingan semasa PKP dan berhasrat untuk meneruskan bisnes ini.
Menurut beliau, rata-rata pelanggan memberi respon yang baik dan berpuas hati atas servis yang beliau berikan.
Kisah anak kelahiran negeri Melaka ini bermula dengan jejak langkahnya di GIATMARA dan kini di GMI.
“Saya telah memilih GIATMARA untuk mempelajari kemahiran dalam Sijil Teknologi Sistem yang sesuai dengan minat dan pilihan saya. GIATMARA menyediakan laluan mudah untuk saya layak mendaftar kerana ianya tidak memerlukan syarat kelayakan pendidikan yang ketat.
Saya bersyukur dan berpuas hati dengan kemahiran yang saya perolehi di GIATMARA kerana sangat membantu mengembangkan bakat dan kemahiran yang saya perlukan hingga saya mampu membuka bisnes kecilan dalam menyediakan perkhidmatan membaiki peralatan komputer,” tambahnya lagi.
Hiqam Isa memiliki prestasi yang cemerlang dalam bidang pengajian sijil di GIATMARA sehingga MARA menawarkan pengajian peringkat diploma Network Security selama tiga (3) tahun di GMI.
Beliau berasa bertuah dan berpuas hati kerana mampu menggunakan ilmu dan kemahiran yang ada untuk memperoleh pendapatan sampingan dalam tempoh yang sangat sukar ini.
Hiqam Isa turut berhasrat untuk mengembangkan bisnesnya dengan membuka sebuah kedai komputer yang menyediakan perkhidmatan menjual dan membaiki komputer suatu hari nanti.