Norma Baharu: Cabutan Undian Projek Rangsangan Ekonomi RM1 Juta Menerusi Alam Maya

Cabutan Undian Projek Rangsangan Ekonomi RM1 Juta Menerusi Alam Maya

Oleh : Zuriani Sainal

Kuala Lumpur, 14 Jun 2020 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengambil langkah menggunakan platform alam maya secara siaran langsung menerusi Facebook dengan mengadakan Sesi Cabutan Undian Projek Rangsangan Ekonomi  (PRE-2020) berjumlah RM1 juta secara adil dan telus.

Pihak kerajaan melalui pengumuman oleh YAB Perdana Menteri pada 27 Mac lalu telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE2020) bagi melaksanakan projek berskala kecil di seluruh negara yang melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam bagi merangsang aktiviti ekonomi dan memberi manfaat kepada kontraktor Bumiputera.

Justeru, sebagai norma baharu dan buat pertama kalinya MARA telah mengadakan sesi cabutan undian PRE-2020 bagi Wilayah Persekutuan dan Negeri Selangor secara langsung di Facebook MARA yang telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, YBhg. Dato’ Zulfikri bin Osman.

Menurut beliau, “penggunaan aplikasi media sosial melalui sesi cabutan undian yang dibuat secara manual ini telah dipancarkan secara langsung di Facebook MARA bagi memastikan ketelusan proses cabutan undi tersebut” katanya.

Beberapa pemerhati yang terdiri daripada Presiden dan Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Ketua Unit Integriti MARA dan Pengarah Bahagian Audit Dalam turut terlibat.

Terdapat 638 kontraktor yang layak daripada 652 kontraktor yang mendaftar bagi projek PRE Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala bagi PRE Negeri Selangor pula seramai 605 kontraktor yang layak daripada 752 kontraktor yang mendaftar.  Senarai kontraktor yang telah mendaftar dan berstatus layak untuk menyertai kerja undi ini telah dimuat naik di Portal Rasmi MARA Satu (1) jam sebelum cabutan undi secara maya dibuat.

“Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah diberi peruntukkan pelaksanaan PRE tahun 2020 yang melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan premis perniagaan MARA di seluruh Malaysia berjumlah RM50 juta dengan jumlah keseluruhan projek sebanyak 782 projek.  Pada hari ini terdapat sebanyak 17 kerja bernilai RM1,006,501.77 yang akan dibuat cabutan undi manakala bagi lain-lain negeri dijangka akan diadakan dalam masa terdekat” tambah beliau.

Di samping itu, MARA turut mendapat beberapa reaksi positif daripada beberapa penonton Facebook MARA.  Penggunaan teknologi maya ini semakin popular digunakan oleh kebanyakan institusi dan agensi kerajaan.

“Tahniah buat MARA kerana mengadakan proses cabutan undian secara maya ini bersesuaian dengan norma baharu dan ianya dilihat sangat adil dan telus” begitulah antara maklumbalas positif dari beberapa individu yang telah menonton melalui Facebook MARA.

Terdahulu iklan pendaftaran kontraktor bagi menyertai sesi cabutan kerja-kerja undi untuk negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dimuat naik di Portal Rasmi Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada 3 Jun 2020 (Rabu). Syarat kelayakan kontraktor bagi menyertai kerja cabutan undi ialah Kontraktor Gred G1 (Daerah) bagi kerja-kerja Bangunan, Kontraktor Gred G1 (Daerah) atau G2 atau G3 (Negeri yang menawarkan kerja sahaja) bagi kerja-kerja Elektrikal, Berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) dan Sijil Taraf Bumiputera (STB).

Selari dengan pencegahan Covid19, MARA telah mengamalkan pengurusan penjarakkan sosial, pemakaian penutup mulut (sekiranya bergejala) dan penggunaan pencuci tangan semasa proses cabutan undian kerja-kerja tersebut.

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.