‘Sempat Jumpa Arwah Ayah’ – Nurul Nazuana

Kenangan Nazuana bersama ayah tersayang

Oleh: Akmal Azlan

Lahad Datu, 20 Mei 2020 – Pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, Nurul Nazuana sempat berjumpa ayahnya di Hospital Lahad Datu sebelum meninggal dunia sejurus baru pulang ke kampung halaman.

Pelajar daripada negeri Sabah itu berduka-cita kerana tidak dapat menghampiri dan memeluk Nawang, ayahnya yang dikatakan menghidap penyakit paru-paru berair dan masalah rosak buah pinggang.

“Saya hanya melihat ayah yang sedang nazak daripada jauh dengan jarak 1 meter sambil berlinangan air mata dan tidak berkesempatan untuk memeluknya kerana saya masih dalam tempoh kuarantin sejurus baru sampai ke tempat sendiri.

“Semasa saya berada di kolej, ibu saya telah menghubungi saya pada bulan Mac yang lalu bahawa ayah saya berada dalam keadaan kritikal dan membuatkan perasaan saya bertambah risau ditambah pula dengan pengumuman PKP yang menjadi satu sebab saya tidak dapat balik,” kata Nazuana.

Menurutnya lagi, ayahnya memang telah menghidap penyakit tersebut pada tahun 2019 sebelum Nazuana mendaftar dan masuk pengajian di KPTM Bangi.

Beliau juga memberitahu bahawa sempat menjaga ayahnya selama 6 bulan sebelum berangkat pergi ke KPTM Bangi demi melanjutkan pengajian dan atas dorongan ayah dan ibunya.

“Apa-apa pun saya tetap bersyukur kerana berpeluang menjaga ayah ketika sakit selama 6 bulan. Saya dan ibu lah yang sering membawa ayah masuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ayah turut berpesan kepada saya agar menghabiskan pengajian dengan baik dan memperolehi kerjaya di masa akan datang agar dapat menjaga ibu dan tiga orang adik-beradik saya yang masih bersekolah kerana saya merupakan anak sulung dalam empat orang beradik,” tambah Nazuana.

Pelajar tahun 1 dalam bidang Diploma Business Management itu turut berterima kasih kepada pihak MARA yang telah berjaya membawa dirinya balik ke Lahad Datu, Sabah pada 14 Mei yang lalu.

“Pada mulanya saya risau dan gusar kerana tidak tahu nak buat apa disebabkan PKP yang dilaksanakan. Saya bersyukur dan lega kerana pihak MARA mengambil tanggungjawab penuh mengurus dan menghantar semua pelajar balik ke tempat sendiri pada saat itu dengan penuh baik sehingga saya berkesempatan jumpa ayah sebelum menghembus nafas terakhir,” ucap Nazuana dengan rasa syukur.

Nazuana mengatakan bahawa beliau dan keluarganya perlu meneruskan kehidupan dan Nazuana berazam serta bernekad sungguh-sungguh untuk menamatkan pengajian diplomanya di KPTM Bangi.

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.